Walaupun teruk difitnah oleh Pakatan Harapan (PH), langkah-langkah berkesan yang diambil ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri berjaya memastikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) meraih keuntungan besar.
Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, perdebatan mengenai Sapura Energy Berhad dalam Debat Perdana pada 18 Mei 2022 antara Najib dan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menimbulkan pelbagai reaksi, terutama terhadap cadangan Najib agar Petronas mengambil alih syarikat itu.
“Salah satu perkara yang dipertikaikan adalah cadangan Najib agar Petronas mengambil alih Sapura, yang dikatakan akan membebankan syarikat minyak negara itu.
“Namun, Najib membidas dakwaan tersebut dengan menyatakan bahawa kerajaan PH dan Perikatan Nasional (PN) lebih membebankan Petronas kerana mereka bukan sahaja menjual aset-aset Petronas, tetapi juga mengambil dividen besar dari syarikat itu,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Menurut beliau, ketika era pentadbiran Najib, rizab tunai Petronas meningkat daripada RM30 bilion ke RM176 bilion, manakala nilai bersihnya melonjak empat kali ganda.
Sebaliknya, Sian See berkata, kerajaan PH dan PN “menjarah” Petronas dengan menjual asetnya serta mengambil dividen terbesar dalam sejarah, iaitu RM54 bilion pada 2019.
“Najib menegaskan bahawa cadangannya bukan untuk Petronas membayar hutang Sapura sebanyak RM10 bilion, tetapi untuk membantu syarikat itu mendapatkan modal kerja yang diperlukan untuk terus beroperasi,” katanya.
Sian See menjelaskan bahawa Sapura sebelum ini berjaya mengurangkan hutangnya daripada RM18.6 bilion ke RM10.7 bilion dan masih mempunyai kontrak aktif bernilai RM7 bilion, selain sedang membida kontrak tambahan bernilai RM30 bilion.
Kata beliau, Najib pernah menyelamatkan Proton dan kini syarikat itu kembali berjaya serta menguntungkan kerajaan, membuktikan bahawa bukan semua bailout merugikan jika dilaksanakan dengan betul.
“Terdapat dua kaedah yang boleh digunakan untuk menyelamatkan Sapura.
“Pertama, Petronas boleh mengambil alih sementara dan menjual semula selepas pemulihan. Nilai pasaran Sapura kini hanya RM1 bilion berbanding RM30 bilion sebelum ini. Jika dipulihkan, Petronas boleh menjualnya kembali dengan keuntungan besar hingga RM29 bilion.
“Pilihan kedua adalah kerajaan memberi jaminan pinjaman kepada Sapura supaya syarikat itu boleh mendapatkan modal kerja yang diperlukan dan memulihkan keyakinan pemegang saham, pelanggan serta bank terhadapnya,” katanya.
Sian See menambah, Amerika Syarikat pernah menyelamatkan Citibank, AIG dan General Motors pada 2008, tetapi dalam tempoh dua hingga tiga tahun sahaja mereka memperoleh keuntungan berpuluh bilion dolar daripada langkah tersebut.
“Jika cadangan Najib dianggap membebankan Petronas, bagaimana pula dengan tindakan PH dan PN yang mengambil dividen besar dan menjual aset Petronas?
“Mengapa mereka tidak dikecam ketika mengambil RM54 bilion dari Petronas pada 2019?” katanya.
Beliau menegaskan bahawa cadangan Najib bukan sekadar bailout tetapi satu pelan pemulihan yang boleh menguntungkan kerajaan, seperti yang dilakukan dalam kes Proton dan syarikat-syarikat besar lain di dunia.
0 Ulasan