Seorang pegawai perubatan kontrak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Nur Fatehah Roslan meluahkan rasa kecewa selepas sistem pemilihan penempatan ke lantikan tetap (E-placement) yang sepatutnya dibuka semula esok ditangguhkan sekali lagi.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai tidak masuk akal dan menjejaskan ribuan pegawai perubatan yang telah menerima tawaran lantikan tetap sejak 5 Februari lalu.
"Di sini saya akan menceritakan sedikit sebanyak kronologi kisah yang berlaku pada kami agar rakyat boleh menilai bagaimanakah pucuk pimpinan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia yang telah menjejaskan ribuan lantikan pegawai perubatan," katanya dalam hantara Facebook Tya Roslan hari ini.
Menurutnya, pegawai perubatan yang terlibat sebelum ini telah bersedia untuk mengisi e-placement pada 27 Februari lalu, namun sistem itu tiba-tiba dibatalkan tanpa sebarang penjelasan rasmi.
"Tiba-tiba ada kenyataan media di TV3 tentang pembatalan penempatan kami pada 27 Februari. Tiada kenyataan rasmi dari KKM, tiada sidang media, tiada penjelasan, tiada apa-apa.
"Kami dibiarkan tergantung seperti orang hilang arah mencari mengapakah terjadinya sebegini," katanya.
Dr. Nur Fatehah berkata, pihaknya pada awalnya menerima keputusan untuk mengisi semula e-placement pada 17 Mac, tetapi sekali lagi menerima makluman penangguhan pada saat akhir.
"Baru sahaja semalam (15 Mac 2025), kami menerima e-mel tentang penangguhan sekali lagi e-placement ini. Dan tangguhnya pada minggu terakhir sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri (25-27 Mac 2025 - kita raya 31 Mac 2025).
"Email dihantar pada 11.45 malam pada hari Sabtu hujung minggu. Di manakah etika dan profesionalisme pihak KKM?" ujarnya.
Beliau meluahkan kekecewaan kerana doktor-doktor yang terlibat telah berusaha keras dalam akademik dan sepatutnya dianggap sebagai aset negara, bukannya diperlakukan tanpa maruah.
"Kami ini semua doktor, golongan yang dahulunya mendapat straight A SPM, dekan setiap semester, cemerlang akademik dan kokurikulum, belajar medical school susah tapi kami tempuh sehingga berjaya grad. Kami seharusnya menjadi aset negara.
"Tak diminta untuk dilayan seperti anak raja, tapi cukuplah tidak dilayan seperti kami tiada harga diri dan maruah untuk kalian tetapkan sahaja apa-apa yang kalian suka," katanya.
Dr. Nur Fatehah turut memberi gambaran bahawa jika isu ini berterusan, ramai pegawai perubatan mungkin akan meletakkan jawatan dan mencari peluang pekerjaan di tempat lain.
"Impaknya nanti terlalu ramai pegawai perubatan yang akan meletak jawatan dan mula mencari tawaran kerja yang lebih baik di tempat lain.
"Akibatnya, KKM akan tetap kekurangan doktor, waktu menunggu di klinik menjadi lebih panjang, dan tak mustahil saya katakan jika sistem perubatan negara kita akan collapse di suatu masa nanti jika perkara berterusan," katanya.
Beliau menggesa KKM supaya lebih telus dan melibatkan pegawai perubatan dalam setiap keputusan penting berkaitan penempatan mereka.
0 Ulasan