DAP menegaskan bahawa parti itu bukanlah 'pak turut' atau 'yes man' dalam Kerajaan Perpaduan.
Namun, pada masa yang sama, Pengerusinya, Lim Guan Eng berkata, parti itu adalah rakan setia Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“DAP telah menjadi sekutu teguh seperti yang ditunjukkan oleh Setiausaha Agung DAP terdahulu, daripada (Tan Sri) Lim Kit Siang sehinggalah sekarang, Anthony Loke. Kami bangga dapat membantu hingga beliau menjadi Perdana Menteri dan akan terus berbuat demikian.
“Bagaimanapun, biar saya tegaskan bahawa DAP bukanlah parti ‘yes man’. DAP hanyalah ‘yes man’ kepada pengundi kita dan rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP Ke-18 yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam hari ini.
Beliau turut memuji reformasi politik dan institusi yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar.
“Kami berharap reformasi ekonomi akan dimasukkan dan dipercepatkan tahun ini untuk membalas kepercayaan pengundi kita bahawa Pakatan Harapan akan menjadikan Malaysia lebih baik untuk anak-anak kita,” jelasnya.
0 Ulasan