Usul had tempoh jawatan PM ke Dewan Rakyat jika disokong dua pertiga ahli Parlimen

 

Gambar: FB DAP

Usul yang dikemukakan DAP bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun atau dua penggal akan dibawa ke Dewan Rakyat sekiranya disokong oleh dua pertiga ahli Parlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan tersebut melibatkan pindaan terhadap Perlambagaan Persekutuan.

Menurut beliau, cadangan itu adalah komitmen Pakatan Harapan (PH) seperti yang termaktub dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi PH itu menyatakan persetujuannya terhadap cadangan itu kerana bimbang akan mencetuskan kerosakan kepada negara jika jawatan Perdana Menteri disandang terlalu lama.

“Jangan bimbang, kalau saya tak mungkin lepas daripada 10 tahun, dua tahun pun sudah penat. Bukan saya sahaja, malah PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan PH juga setuju.

“Bagaimanapun, kita harus bina, itu yang dibincangkan soal rundingan dan kesepakatan. Kita kena terangkan dan dengar, kalau ada dua pertiga, ada persetujuan, sesi akan datang kita boleh pinda.

“Tapi jangan bawa usul kalau belum cukup kerana kalau pembangkang, apa dia hendak kata pun kita tak boleh percaya, sebab dia boleh ubah. Fatwanya boleh berubah ikut masa,” katanya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam ucapannya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 24 bulan ini bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Anthony yang juga Menteri Pengangkutan memberitahu, DAP akan menyokong dan mencadangkan Anwar menjadi Perdana Menteri sekiranya kembali membentuk kerajaan pada PRU-16.


BACA LAGI


MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan