Akar umbi PKR bangkit musnahkan politik elit dan politik kartel


Veteran PKR, Hassan Abdul Karim berpandangan, keputusan pemilihan peringkat cabang PKR baru-baru ini yang menyaksikan banyak nama besar tumbang menggambarkan kebangkitan akar umbi memusnahkan politik elit dan politik kartel dalam parti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang merumuskan perkara itu setelah ramai tokoh besar 'Ayuh Malaysia' tewas mengejut di tangan calon-calon akar umbi yang tiada nama, tiada jawatan dalam Kabinet dan bukan Ahli Parlimen.

Hassan berkata, sesetengah tokoh yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri atau Ahli Parlimen tiba-tiba menjadi elit yang berkuasa di koridor kuasa di Putrajaya.

"Susah dihubungi, tidak mesra lagi dengan anggota biasa PKR yang gantung poster mereka semasa tokoh-tokoh itu jadi calon pilihan raya umum, tak turun kawasan, tak kenal lagi ahli biasa, panggilan telefon atau SMS atau WhatsApp  tidak lagi dijawab, malah exist tinggalkan group WhatsApp ahli ahli biasa PKR yang menyokong mereka selama ini.

"Tokoh-tokoh besar ini akhirnya tahu tinggi rendah langit apabila mereka dihukum dalam pemilihan secara demokratis dalam pilihan raya PKR," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara nama-nama besar yang tumbang ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasir.

Hassan menambah, pemilihan PKR sekarang adalah satu revolusi demokrasi di peti undi secara digital tercanggih melakukan pembersihan dalam kepimpinan di peringkat 222 Cabang di seluruh negara di seluruh kawasan Parlimen.

Beliau memberitahu, pemilihan itu telah berjaya membuang politik kartel dan politik elit yang telah merosakkan PKR dalam beberapa tahun terakhir ini sejak parti berkenaan menjadi parti politik terpenting dalam kerajaan yang sedang memerintah sama ada dalam kerajaan Persekutuan atau kerajaan-kerajaan negeri.


BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan