JAKIM teliti kenyataan 'kemenangan politik lebih utama daripada tunaikan umrah dan haji'

 


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan pihak-pihak berautoriti berkaitan sedang meneliti kenyataan seorang pemimpin politik yang menyatakan bahawa kemenangan politik adalah lebih utama daripada menunaikan umrah dan haji.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, langkah itu adalah bagi memastikan umat Islam memahami dengan jelas kedudukan ibadah umrah dan haji dalam Islam serta menghayatinya berdasarkan panduan syarak serta tidak disalah tafsir.

"JAKIM menyeru semua pihak agar sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh hal-hal berkaitan agama supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan membuat kenyataan itu ketika berucap pada ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Kampung Tanjong Keramat, Tapah malam kelmarin.

Seperti dilaporkan BH Online beliau mendakwa, ketetapan berkenaan dibuat dengan mengambil ibrah peristiwa Rasulullah SAW dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.

Abdul Hadi mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.

Beliau mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.

BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan