Arahan wajib undi PAS 'fatwa' politik kepartian - Khairuddin


 'Fatwa' wajib mengundi PAS adalah 'fatwa' politik kepartian dan bukannya fatwa hukum Islam.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, 'fatwa' mengundi diutamakan berbanding haji yang wajib dan umrah yang sunat adalah 'fatwa' kepartian bukannya hukum Islam.

Menurut beliau, hukum Islam adalah boleh mengundi mana-mana parti yang memberi komitmen menegakkan Islam, melaksanakan pembangunan rakyat dan ketelusan pentadbiran. 

"Boleh sahaja mengundi UMNO atau PAS sebagaimana demokrasi membenarkan. 

"Pilihan antara parti-parti orang Islam ialah pilihan antara mana yang afdhal dan mana yang kurang afdal semuanya berdasarkan pertimbangan pengundi masing-masing bukannya antara parti yang wajib diundi dan haram diundi antara parti-parti orang Islam," katanya dalam hantaran Facebook, malam tadi.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan membuat kenyataan itu ketika berucap pada ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Kampung Tanjong Keramat, Tapah 19 April lalu.

Seperti dilaporkan BH Online kelmarin beliau mendakwa, ketetapan berkenaan dibuat dengan mengambil ibrah peristiwa Rasulullah SAW dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.

Abdul Hadi mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.

Beliau mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.

Mohd. Khairuddin yang juga bekas Setiausaha Dewan Ulama PAS menambah, untuk memahami 'fatwa' Presiden PAS mudah sahaja iaitu ia dibina atas asas wajib undi PAS pada hukum syarak kerana hanya PAS membawa Islam dan mewakili Islam pada sudut pandang ahli-ahlinya. 

Beliau memberitahu, atas sebab itu mereka 'mengharamkan" keluar dari PAS walaupun ramai tuan guru sejak 1951 telah meninggalkan PAS seperti Tok Guru Haji Abas Tok Jiring Kuala Nerus pada 1962.

"Sekiranya undi PAS tidak wajib dan boleh mengundi UMNO atau parti lain maka tidak timbul isu 'wajib' utamakan mengundi berbanding mengerjakan ibadah haji yang fardu ain atau umrah yang sunat kerana siapa pun yang menang kalangan orang Islam tetap Islam dilaksanakan sebagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.

BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan