Tanpa pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Malaysia hari ini mungkin akan jauh lebih teruk terjejas akibat krisis tarif global yang dicetuskan oleh pentadbiran Trump.
Penganalisis politik, Lim Sian See berkata,ETP bukan sekadar slogan atau formula kosong malah ia merupakan satu pelan strategik yang dirangka secara menyeluruh untuk menyusun semula struktur ekonomi negara dan mengurangkan pergantungan terhadap komoditi serta sektor eksport yang mudah terkesan dengan ketidaktentuan global.
Menurut beliau, ETP telah berjaya membina asas ekonomi domestik yang kukuh dan mampan, sekali gus melindungi Malaysia daripada tekanan luar yang sukar dijangka.
“Jika kita lihat kepada matlamat utama ETP, ia adalah untuk menjadikan ekonomi kita tidak terlalu bergantung kepada hasil minyak, eksport barangan pembuatan dan komoditi mentah semata-mata,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Sian See berkata, antara pencapaian ketara hasil daripada pelaksanaan ETP termasuk peningkatan pendapatan bulanan rakyat secara konsisten yang membantu merangsang pertumbuhan sektor runcit, perkhidmatan dan perusahaan kecil sederhana (PKS).
Malah, katanya, pelaksanaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga memainkan peranan penting sebagai pemindahan tunai terus kepada golongan berpendapatan rendah.
“BR1M bukan sekadar bantuan kebajikan. Ia memperkukuh permintaan domestik terutama sekali di kawasan luar bandar dan menyokong pusingan ekonomi negara secara langsung,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan, satu lagi kejayaan penting ETP adalah peralihan fokus ekonomi kepada sektor perkhidmatan, yang lebih stabil dan tahan krisis berbanding sektor lain.
“Peratusan sumbangan sektor perkhidmatan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada 58 peratus pada tahun 2010 kepada 65 peratus menjelang tahun 2020.
"Ini menunjukkan strategi yang jelas dan terancang untuk mengurangkan kebergantungan kepada sektor perkilangan dan komoditi,” katanya.
Jelas beliau, kebergantungan kerajaan terhadap hasil minyak dan gas juga menurun drastik – daripada 41.3 peratus pada 2009 kepada hanya 14 peratus ketika pentadbiran Najib.
Tambah Sian See, hasil pelan terancang itu, sumbangan ekonomi domestik kepada keseluruhan ekonomi negara meningkat daripada 54 peratus pada tahun 2009 kepada 59 peratus pada tahun 2020.
“Kita tidak boleh menafikan fakta ini. Ia bukan sekadar angka, tetapi menunjukkan asas ekonomi kita semakin kukuh dan tidak mudah goyah apabila berlaku ketidaktentuan luar,” jelasnya.
Beliau berkata, satu lagi bukti nyata kejayaan ETP ialah kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mula mengatasi Singapura secara konsisten sepanjang pentadbiran Najib, berbeza dengan era sebelumnya di mana Malaysia sering ketinggalan.
“Ini berlaku kerana Malaysia sudah berdiri atas kekuatan sendiri. Kita tidak lagi terlalu bergantung kepada pasaran luar yang tidak menentu dan mudah terkesan dengan dasar negara asing,” katanya.
Menurut Sian See, banyak laporan dan analisis ekonomi hari ini menunjukkan bahawa struktur ekonomi Malaysia kini lebih bersedia menghadapi tekanan tarif dari Amerika Syarikat.
“Dan hakikat ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia hasil daripada asas yang telah dibina menerusi visi dan strategi Najib dalam melaksanakan ETP secara sistematik dan berfasa,” katanya.
Beliau berkata, Najib tampil dengan pelan yang jelas, teliti dan berfokus serta lengkap dengan dasar-dasar bertulis, sasaran spesifik dan hala tuju tersusun.
“Manakala yang lain pula sibuk dengan formula-formula entah apa, yang sampai sekarang tengah jalan-jalan tak tentu hala,” katanya sinis.
0 Ulasan