PAS jangan syok sendiri - Puad

 


Penyertaan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampong Gajah, Dr. Wan Norashikin Wan Nordin ke dalam PAS tidak memberi kesan kepada kekuatan Barisan Nasional (BN), kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Menurut beliau, langkah Wan Norashikin menyertai PAS adalah disebabkan faktor peribadi membabitkan perkahwinan, dan bukannya kerana prinsip perjuangan politik.

“Dia menyertai PAS kerana faktor perkahwinan. Itu tindakan betul kerana dia mentaati perintah suaminya. ‘Suami first’,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mohd. Puad juga menolak dakwaan Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Salleh  bahawa tindakan tersebut adalah satu bentuk ‘hijrah kepada kebenaran’.

“Ini bukan soal tindakan berani atau hijrah pada kebenaran seperti yang didakwa Ketua Muslimat PAS. Tetapi lebih bijaksana jika Wan Norashikin serah borang ahli PAS bukan waktu PRK DUN Ayer Kuning,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa UMNO sudah berpengalaman berdepan dengan pemimpin-pemimpin yang menyertai PAS, namun parti itu tetap kekal teguh.

“UMNO sudah lali dengan tokoh-tokoh besarnya menyertai PAS. Contohnya Annuar Musa dan Shahidan Kassim. Annuar bekas Setiausaha Agung UMNO. 

"Tetapi Nenggiri tetap jatuh ke tangan UMNO sedangkan Annuar Pengarah Pilihan Raya PAS,” ujar Puad.

Tambah Mohd. Puad, PAS tidak seharusnya terlalu yakin atau mendabik dada dengan penyertaan tokoh-tokoh tertentu ke dalam parti mereka.

“Maka PAS jangan syok sendiri,” sindirnya.

MENARIK





Catat Ulasan

1 Ulasan