PRK Ayer Kuning: BERSIH kecam salah laku kerajaan semasa berkempen

 


Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) memandang serius beberapa pelanggaran prinsip pilihan raya bebas dan adil yang  berlaku sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Menurut BERSIH, terdapat tiga insiden yang boleh dianggap sebagai penyalahgunaan sumber kerajaan, serta taktik yang menjejaskan integriti proses pilihan raya dengan berkempen secara tidak adil. 

Katanya, antara kesalahan tersebut adalah ikrar oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan pada 12 April lalu bahawa projek pembangunan di Ayer Kuning akan diteruskan sekiranya calon Barisan Nasional (BN) menang PRK. 

"Pengumuman bersyarat sebegini merupakan satu bentuk  penyalahgunaan sumber kerajaan untuk mempengaruhi undi secara tidak wajar oleh pihak Kerajaan Persekutuan. 

"Taktik ini adalah taktik kotor yang sepatutnya tidak diulangi oleh Kerajaan Madani yang katanya mengangkat slogan keadilan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

BERSIH menambah, kesalahan kedua didakwa berlaku apabila Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada program ramah mesra anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Tapah telah dilihat menyampaikan pemberian duit raya kepada hadirin. 

Menurutnya, walaupun pemberian ini melalui agensi kerajaan, pemberian sebegini dalam tempoh kempen dan di kawasan PRK boleh ditafsir sebagai bentuk pemberian yang mempengaruhi pengundi, yang boleh menjadi kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. 

"Kerajaan Persekutuan perlu mengambil ibrah daripada petisyen pilihan raya yang menyebabkan PRK Kuala Terengganu dan Kemaman sebelum ini," jelasnya.

BERSIH juga mendakwa berlaku penggunaan jentera kerajaan untuk berkempen ketika Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad 

hadir dalam program rasmi kerajaan seperti “Town Hall Bersama Anak Muda” di Kompleks Sukan Tapah, bersama calon jelas menunjukkan penyalahgunaan jentera dan fasiliti kerajaan untuk tujuan kempen. 

"Ini melanggar prinsip asas pemisahan antara kerajaan dan parti serta menyalahgunakan kelebihan sebagai penyandang jawatan untuk memberi kelebihan tidak adil kepada calon tertentu. 

"BERSIH mempersoalkan tempat dan masa program ini dijalankan kerana Kerajaan Negeri Perak sudah tentu sedia maklum bahawa majlis tersebut adalah ketika tempoh berkempen," katanya.

Sehubungan itu, BERSIH menggesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan garis panduan yang jelas kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan semua pihak yang terlibat agar  kempen pilihan raya berlangsung secara adil dan bersih. 

Tambahnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu menjalankan siasatan berhubung kemungkinan wujudnya unsur rasuah politik dalam pemberian serta pengumuman yang dibuat sepanjang kempen.  

"Kerajaan, sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan, harus menunjukkan komitmen terhadap prinsip pemisahan kuasa antara parti dan pentadbiran dengan tidak memperalatkan agensi atau dana awam demi kepentingan pilihan raya.

BERSIH menegaskan bahawa sebarang bentuk salah guna kuasa semasa pilihan raya bukan sahaja mencemarkan demokrasi, malah menjauhkan rakyat daripada kepercayaan terhadap sistem pilihan raya. 

"Semua pihak perlu berusaha untuk memastikan PRK DUN Ayer Kuning berlangsung secara adil, telus dan bersih," katanya.

MENARIK



Catat Ulasan

1 Ulasan