Pemimpin politik jangan cetus kekeliruan mengenai keutamaan haji dan umrah - IKIM

 


Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ingin menegaskan bahawa kenyataan mana-mana pemimpin politik yang mengutamakan kemenangan politik berbanding ibadah haji dan umrah dipetik dalam konteks yang tidak wajar dan boleh menimbulkan salah faham di kalangan umat Islam. 

Ketua Pengarahnya, Prof. Madya. Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil (gambar) berkata, haji sebagai rukun Islam kelima, merupakan kewajiban yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang berkemampuan, sebagaimana termaktub dalam al-Quran, Surah Ali Imran, ayat 97 dan sesekali tidak mengengkari kewajipannya. 

Menurut beliau, umrah pula adalah ibadah sunat yang amat digalakkan, yang membawa ganjaran spiritual yang besar seperti yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW: "Satu umrah ke satu umrah yang lain adalah penghapus dosa antara keduanya, dan haji yang mabrur tiada balasan baginya melainkan syurga." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

"Pemimpin politik sebagai individu yang menjadi teladan dalam masyarakat, seharusnya menunjukkan sikap yang seimbang antara tanggungjawab duniawi dan keutamaan ukhrawi. 

"Mengutamakan kemenangan politik sehingga mengabaikan atau merendahkan nilai ibadah seperti haji dan umrah boleh mencerminkan kekeliruan dalam memahami peranan agama dalam kehidupan. 

"Lebih-lebih lagi dengan keadaan sekarang di mana giliran menunggu untuk menunaikan haji mengambil masa yang begitu panjang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan membuat kenyataan itu ketika berucap pada ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Kampung Tanjong Keramat, Tapah malam kelmarin.

Seperti dilaporkan BH Online beliau mendakwa, ketetapan berkenaan dibuat dengan mengambil ibrah peristiwa Rasulullah SAW dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.

Abdul Hadi mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.

Beliau mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.

Mohamed Azam menambah, penangguhan untuk menunaikan ibadah haji atas faktor kesihatan dan keselamatan adalah rukhsah yang dibenarkan oleh syarak dan tidak boleh sama sekali disamakan dengan penangguhan hanya kerana perlu mengundi dalam pilihan raya.

Beliau memberitahu, Islam mengajar bahawa kejayaan duniawi tidak boleh mengatasi kewajipan beribadah kepada Allah SWT, kerana kehidupan di dunia adalah sementara berbanding kehidupan akhirat yang kekal.

"IKIM menyeru semua pihak terutama pemimpin politik agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan terutama yang melibatkan perkara di atas. 

"Sebaliknya pemimpin digalakkan untuk mempromosikan nilai-nilai murni Islam termasuk mengutamakan ibadah dan akhlak mulia serta melaksanakan tanggungjawab politik dengan penuh integriti dan keadilan.

"Kami juga menyeru masyarakat untuk terus mendalami ilmu agama agar dapat membezakan antara tanggungjawab duniawi dan keutamaan spiritual," jelasnya. 

BACA LAGI

MENARIK





Catat Ulasan

0 Ulasan