Penganalisis politik, Lim Sian See mendakwa, ketidakcekapan kerajaan negeri Selangor menjadi punca masalah banjir kilat Taman Sri Muda, Shah Alam baru-baru ini semakin buruk.
Beliau berkata, insiden itu jelas mencerminkan kelemahan pentadbiran negeri dalam menangani isu berulang yang telah mengorbankan nyawa sebelum ini.
“Beginilah tahap ketidakcekapan Madani. Taman Sri Muda di Selangor pernah jadi lokasi tragedi banjir besar pada tahun 2021 yang mengorbankan 14 nyawa.
“Untuk atasi masalah itu, kerajaan telah beli dan pasang dua pam air baharu tahun 2024 lepas kononnya sebagai penyelesaian jangka panjang.
“Tapi bila banjir melanda semula minggu lepas, dua-dua pam itu langsung tak berfungsi sebab pam tak ada bekalan elektrik.
“Akibatnya, lebih 1,000 buah rumah terjejas dan rosak akibat banjir pada hari Jumaat.
“Lebih memalukan, hingga ke hari ini penduduk masih belum terima sebarang bantuan daripada pihak kerajaan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Sian See turut memaklumkan bahawa penduduk kini semakin hilang sabar dengan sikap mendiamkan diri kerajaan negeri berhubung isu tersebut.
“Tak hairanlah penduduk di situ mula berang dan mengugut untuk mengadakan protes beramai-ramai jika kerajaan terus membisu dan gagal tampil memberi penjelasan serta penyelesaian sebenar,” ujarnya.
0 Ulasan