Polis tahan Ahli Parlimen Raub

 


Polis mengesahkan telah menahan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui semalam kerana didakwa menghalang tugas penjawat awam semasa operasi penguatkuasaan di kebun durian haram dijalankan 10 April lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahya Othman berkata, turut ditahan, Pengerusi Save Musang King Alliance (SAMKA), Wilson Chang.

Beliau berkata, tangkapan itu dilakukan susulan laporan yang diterima daripada Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang berhubung kejadian pada pukul 10.15 pagi, 10 April lalu di Jalan Kampung Sungai Chalit, Raub.

“Ketika kejadian, pasukan penguat kuasa kerajaan negeri yang sedang menjalankan tugas rasmi telah dihalang oleh sekumpulan kira-kira 50 orang ahli SAMKA bersama Yu Hui dan Wilson.

“Kumpulan ini dilaporkan berkumpul di tengah jalan sambil memegang sepanduk bertulisan bahasa Cina dan bahasa Melayu serta bertindak menghalang laluan pasukan operasi keluar dari kawasan kampung.

“Kejadian ini dipercayai berlaku akibat salah faham berhubung tindakan penguatkuasaan ke atas penanaman pokok durian yang tidak berlesen di daerah Raub,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi.

Tambah Yahya, orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan yang boleh mengganggu tugas penjawat awam serta sentiasa menghormati undang-undang yang sedang dikuatkuasakan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang cuba menggugat ketenteraman awam dan menghalang tugas pihak berkuasa,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut boleh disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Raub di talian 09-3552222.





Catat Ulasan

0 Ulasan