Berikut adalah kenyataan media Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee hari ini:
Hari ini saya selaku Ketua Whip Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, menuntut pengisytiharan kekosongan kerusi P.166 Parlimen Labuan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 April 2025 yang membatalkan Writ Saman dan Penyata Tuntutan yang difailkan Datuk Suhaili Abdul Rahman terhadap Bersatu.
Memandangkan Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membatalkan Writ Saman dan Penyata Tuntutan Suhaili, maka jelas alasan yang dijadikan sandaran oleh Speaker untuk tidak mengosongkan kerusi P.166 Labuan dan menolak permohonan saya dalam surat terdahulu bertarikh 9 Julai 2024, sudah tidak lagi relevan dan terpakai.
Oleh itu, Speaker tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menghormati dan menjunjung mulia Perlembagaan Persekutuan dengan membuat perisytiharan bahawa berlaku kekosongan bagi kerusi P.166 Parlimen Labuan untuk membolehkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat ketetapan untuk suatu pilihan raya kecil diadakan segera.
0 Ulasan