Seorang calon yang bertanding bagi jawatan Ketua Cabang Silam dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Silam terkejut apabila namanya digugurkan dalam pemilihan hari ini.
Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin selaku calon nombor 2 berkata, namanya masih tersenarai dalam sistem pengundian dalam talian ketika semakan dibuat antara pukul 8 pagi hingga 9.30 pagi tadi.
Namun, katanya, pada pukul 9.41 pagi, beliau menerima panggilan yang memaklumkan bahawa namanya telah digugurkan dari sistem pengundian dan dilabel sebagai "CALON TARIK DIRI", sedangkan beliau tidak pernah mengemukakan sebarang notis penarikan diri secara rasmi mahupun lisan.
"Saya segera bergegas ke Pusat Pengundian Fizikal di De Leon Hotel, dan mendapati hanya dua nama calon sahaja yang tertera pada paparan undian, tanpa nama saya," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, Mohd Syafiq Ikhmal Saharudi mempersoalkan siapakah yang bertanggungjawab menarik namanya, atas arahan siapa tindakan itu dilakukan serta motifnya.
"Atau adakah ini satu kesilapan teknikal yang meragut hak demokrasi saya dan para pengundi?
"Tempoh 45 minit ini sangat kritikal. Ia bukan sahaja menyebabkan kehilangan undi kepada saya, tetapi juga mencemarkan integriti dan kredibiliti proses pemilihan parti yang selama ini kita perjuangkan," jelasnya.
Beliau telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut dan telah menghubungi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
"Alhamdulillah, nama saya telah dimasukkan semula ke dalam sistem pengundian setelah aduan dibuat.
"Namun begitu, saya menuntut satu penjelasan rasmi dan pembetulan segera daripada pihak yang bertanggungjawab agar insiden sebegini tidak berulang dan tidak menjejaskan kepercayaan akar umbi terhadap sistem pemilihan parti," katanya.
Mohd. Syafiq Iqhmal menegaskan, ia bukan soal individu semata-mata, malah adalah soal keadilan dan demokrasi dalam PKR.
"Saya akan terus berdiri teguh demi suara rakyat dan masa depan PKR Silam," katanya.
0 Ulasan