Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Charles Brewer dengan rasa rendah diri meminta maaf kepada kakitangan yang terkesan dengan masalah pakaian seragam yang rosak.
Pos Malaysia dalam kenyataan semalam berkata, beliau juga memohon maaf kepada mana-mana pihak yang mungkin tersinggung dengan kenyataan beliau sebelum ini.
"Dengan penuh ikhlas, kami ingin mengakui dan menangani isu yang dibangkitkan melalui hantaran di media sosial baru-baru ini, yang merujuk kepada isu dalaman pada 19 Mac 2025 melibatkan pakaian seragam yang rosak.
"Kami telah mengambil tindakan segera dengan berkomunikasi secara langsung dengan kakitangan yang terlibat, dan isu ini telah berjaya diselesaikan sepenuhnya," katanya.
Baru-baru ini tular dalam media sosial Brewer mengingatkan kakitangan Pos Malaysia terbabit bahawa dia sepatutnya bersyukur kerana syarikat kurier yang lain tidak menyediakan pakaian seragam untuk pekerja mereka.
Pos Malaysia menambah, Brewer dengan jujur mengakui bahawa respon beliau seharusnya lebih berempati, dan dengan tekad yang kuat, beliau berjanji untuk terus membina budaya kerja yang saling menghormati serta menyokong semua warga Pos Wira.
"Kami sedang menambah baik proses dalaman kami untuk memastikan penggantian pakaian seragam dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan teratur.
"Komitmen ini dilakukan untuk memastikan setiap anggota Pos Wira dapat berkhidmat dengan selesa dan penuh keyakinan dalam menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat," jelasnya.
0 Ulasan