Dituduh enggan pulangkan harta UMNO, Tun M kemuka LOD kepada Puad

 


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengemukakan notis tuntutan kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi semalam berikutan kenyataannya yang bertajuk 'Tun M mesti pulangkan harta UMNO' pada 12 April lalu. 

Notis tersebut disampaikan oleh firma guaman Rafique Advocates & Solicitors.

Peguam beliau, Rafique Rashid berkata, pemadaman penulisan dan/ atau penerbitan kenyataan tersebut tanpa sebarang pemohonan maaf kepada Dr. Mahathir perlu diambil tindakan.

Katanya, tuntutan terhadap Mohd. Puad adalah seperti berikut:

1. Mohd. Puad hendaklah mengadakan sidang media terbuka di Bangunan UMNO dengan jemputan media arus perdana serta media sosial dan membuat pengakuan bahawa penulisan dan/atau penerbitan fitnah tersebut adalah kesilapannya;

2. Dalam sidang media itu juga Mohd. Puad hendaklah menyatakan bahawa penulisan fitnah tersebut jelas menuduh Dr. Mahathir sebagai seorang yang pecah amanah dan perkara itu tidak benar sama sekali; dan

3. Mohd. Puad hendaklah membuat permohonan maaf secara bertulis kepada Dr. Mahathir  tanpa syarat dan secara terbuka termasuk dengan akujanji bahawa kamu dan/ atau ejen-ejen kamu dan/ atau mana-mana pihak tidak akan sama sekali membuat apa-apa kenyataan dan/ atau penulisan dan/atau penerbitan lanjut yang menyentuh berkenaan reputasi dan integriti Dr. Mahathir, dan permohonan maaf dan akujanji tersebut hendaklah tertakluk kepada kepuasan dan/ atau dipersetujui oleh Dr. Mahathir dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh notis tuntutan.

"Dr. Mahathir bin Mohamad merizabkan haknya untuk mengambil tindakan undang-undang berkaitan perkara ini sekiranya difikirkan suaimanfaat dan perlu, termasuk kepada pihak-pihak lain," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Dr Mahathir dalam kenyataan kelmarin menafikan tuduhan bahawa beliau enggan menandatangani surat pelepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah aset milik UMNO.

Menurut beliau, tuduhan itu daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan disambut pula oleh Mohd Puad.

Dr. Mahathir berkata, segala dokumen berkaitan telah dikemukakan sebelum ini dan menafikan dirinya terbabit dalam mana-mana tindakan undang-undang berhubung isu berkenaan.

Mohd. Puad telah menyiarkan ralat semalam berhubung kenyataan yang menuduh Dr. Mahathir dan memadamkan hantaran Facebook berkenaan. 

BACA LAGI


MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan