Srikandi PKR tolak keras amalan rasuah, politik wang

 

Srikandi PKR menolak keras amalan rasuah dan politik wang dalam apa jua bentuk dan situasi kerana amalan tersebut tidak mencerminkan prinsip parti.

Setiausahanya, Hanani Dhamirah berkata, amalan itu juga bertentangan dengan nilai utama perjuangan PKR yang bencikan korupsi dan salah guna kuasa dalam kalangan pemimpin. 

Sehubungan itu, menurut beliau, Srikandi PKR memandang serius berhubung satu video tular yang dikaitkan dengan seorang anggota Srikandi PKR Wilayah berkenaan salah laku rasuah atau amalan politik wang kepada pengundi semasa musim Pemilihan Parti PKR 2025. 

"Ingin ditegaskan bahawa, PKR sentiasa dijulang sebagai sebuah parti yang lantang dan komited melawan korupsi dan barah rasuah yang berlaku dalam negara sejajar dengan prinsip dan matlamat yang sentiasa diperjuangkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini. 

"Nilai perjuangan ini seharusnya dijiwai dan diterapkan dalam segenap anggota parti pada setiap masa," katanya dalam kenyataan media semalam.  

Hanani memberitahu, isu itu juga telah dibawa untuk perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan Pengerusi Lembaga Disiplin untuk tindakan dan siasatan selanjutnya. 

Beliau menambah, jawatankuasa tertinggi Srikandi PKR Malaysia juga menggesa pimpinan Wanita PKR agar meneliti dan mempertimbangkan tindakan tatatertib sekiranya hasil siasatan yang dikemukakan menunjukkan bukti kukuh bahawa wujud kesalahan rasuah tersebut terutamanya pada musim pemilihan parti kali ini. 

"Srikandi PKR akur bahawasanya kuasa lantikan mahupun pemecatan jawatankuasa Srikandi PKR di peringkat negeri adalah di bawah bidang kuasa sayap Wanita PKR. 

"Sekali lagi, kami menegaskan bahawa pihak kami tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang salah laku rasuah dan amalan politik wang untuk meraih undi yang boleh mencemarkan imej Srikandi PKR dan parti," katanya.

BACA LAGI


MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan