Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengakui beliau tersilap apabila menuduh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad enggan melepaskan aset UMNO baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, tulisannya dalam hantaran Facebook pada 12 April lalu adalah berdasarkan laporan media yang tidak jelas ketika itu.
Menurut Mohd Puad, Dr Mahathir telah menand tangani surat tukar milik harta pada 2015.
"Tetapi pada 2017, Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur (PTGKL) telah menolaknya atas alasan nama atas geran tidak mengikut nama di dalam kad pengenalan.
"Contoh, pemegang amanah (dalam geran) Daim Zainuddin tetapi nama dalam kad pengenalan, Che Abdul Daim Bin Haji Zainuddin. Ia juga membabitkan gelaran pingat kepada nama Tun Mahathir.
"Untuk mendapatkan tanda tangan akuan bersumpah (SD) daripada individu terbabit untuk mengesahkan bahawa mereka adalah individu sama mungkin sukar dalam keadaan politik sekarang.
"Justeru UMNO mengambil tindakan saman terhadap PTGKL atas alasan itu kesilapan PTGKL," katanya dalam hantaran Facebook, semalam.
Dr Mahathir dalam kenyataan kelmarin menafikan tuduhan bahawa beliau enggan menandatangani surat pelepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah aset milik UMNO.
Menurut beliau, tuduhan itu daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan disambut pula oleh Mohd Puad.
Dr. Mahathir berkata, segala dokumen berkaitan telah dikemukakan sebelum ini dan menafikan dirinya terbabit dalam mana-mana tindakan undang-undang berhubung isu berkenaan.

0 Ulasan