Pemilik akaun Facebook Cayson Goh hari ini tampil menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menghina Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, hantaran tular dalam media sosial dihantar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Dengan ini saya ingin jelaskan dan menegaskan bahawa saya tidak pernah menghina Baginda Yang di-Pertuan Agong dan sebenarnya dah banyak kali orang yang tidak diketahui dan tidak bertanggungjawab gunakan gambar saya untuk sebar benda yang bukan-bukan.
“Kali pertama berlaku sekitar bulan Mac, mereka gunakan gambar saya untuk membuka akaun Facebook dan gunakan AI mencipta video dengan gambar saya untuk promote web judi. Saya juga dengan segeranya membuat satu repot polis mengenai kes ini.
“Tapi kali ni dia orang over sangat, memang biadap, sampai menggunakan gambar saya membuka akaun Facebook dan menghina Baginda Yang di-Pertuan Agong yang paling kita hormati.
“Serius, saya tak faham mana datangnya keberanian dia orang nak buat benda macam ni. Polis pun dah mula siasat dan harap mereka semua ini dituduh di mahkamah nanti,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Cayson turut menjelaskan bahawa beliau hanya memiliki satu akaun Facebook yang sah dan disahkan dengan tanda pengesahan biru.
“Untuk makluman saudara sekalian, saya hanya mempunyai satu akaun Facebook dimana akaun Facebook yang benar ini adanya blue tick verified.
“Tolonglah, jangan rosakkan keamanan negara kita. Kita dah lama hidup aman damai, walaupun berbilang kaum dan budaya. Jangan sebab perkara bodoh macam ni, semuanya musnah.
“Dan untuk makluman semua sekali lagi, memang saya berasal Johor dan bangga sebagai seorang Bangsa Johor. Daulat Tuanku,” ujarnya.


0 Ulasan