MCW bantah cadangan pemutihan, pajakan tanah pekebun Musang King haram

 


Berikut adalah kenyataan penuh Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim hari ini:

1.  Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menzahirkan kebimbangan serius terhadap cadangan penyelesaian isu kebun durian Musang King yang ditanam secara haram di atas tanah kerajaan di Raub, Pahang. MCW menolak sebarang bentuk pemutihan atau pemajakan tanah yang akan memberi ganjaran kepada penceroboh dan menghalalkan jenayah pentadbiran tanah.

2.  Pencerobohan tanah kerajaan adalah perbuatan salah laku yang melanggar undang-undang dan mencerminkan kelemahan dalam penguatkuasaan serta pentadbiran tanah. Tindakan memberikan pajakan 30 hingga 60 tahun kepada pihak yang telah menceroboh, meskipun beralasankan hasil ekonomi, adalah satu isyarat songsang yang membahayakan prinsip keadilan dan integriti negara.

3.  MCW menyatakan bahawa:  

i. Memberi ganjaran kepada penceroboh melalui pajakan atau pemutihan adalah bentuk normalisasi jenayah yang membuka pintu kepada lebih banyak pencerobohan di masa hadapan.  

ii. Penyelesaian sebegini adalah precedent yang merosakkan, menjadikan perlanggaran undang-undang sebagai satu jalan pintas kepada pemilikan sah.  

iii. Kerajaan Negeri harus sedar bahawa tanah adalah amanah rakyat, bukan alat tawar-menawar kepada penjenayah tanah demi keuntungan jangka pendek.  

iv. Ini juga membuka ruang luas kepada rasuah, manipulasi pentadbiran dan rundingan tidak telus yang hanya menguntungkan pihak tertentu.

4.  MCW dengan tegas menggesa:  

- Tindakan undang-undang segera terhadap semua penceroboh tanah kerajaan tanpa kompromi.  

- Audit menyeluruh terhadap status tanah-tanah yang telah diceroboh dan sebarang proses pentadbiran yang mencurigakan.  

- Ketelusan dan penglibatan awam dalam sebarang rundingan penyelesaian bagi mengelak salah guna kuasa.  

- Pengukuhan penguatkuasaan dan dasar kawalan pemilikan tanah bagi mengelak eksploitasi berulang.

5.  MCW berpegang kepada prinsip bahawa undang-undang tidak boleh dikompromi, dan keuntungan tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan kejahatan. Negara akan gagal jika undang-undang tunduk kepada tekanan politik, ekonomi atau kepentingan peribadi.


BACA LAGI


MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan