Fitnah jahat! MB Terengganu tak pernah tarik balik kenyataan isu TCO

 


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak menarik balik kenyataannya pada 10 April lalu berhubung perintah kawalan perjalanan (TCO) yang dikenakan terhadapnya.

Setiausaha Akhbarnya, Mohd Nasir Abd Razak berkata, hantaran yang tular dalam media sosial kononnya Ahmad Samsuri menarik balik kenyataannya itu adalah tidak benar.

"Kapsyen yang digunakan oleh laman ini ternyata merupakan satu fitnah yang jahat kepada YAB Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri dan  fitnah sebegini boleh menjejaskan imej beliau.

"Sehubungan itu, kami meminta agar siaran tersebut ditarik balik segera," katanya dalam hantaran Facebook, semalam. 

Ahmad Samsuri pada 10 April lalu mendedahkan, beliau telah dikenakan TCO dalam sistem kawalan sempadan, menjadikannya seolah-olah seorang penjenayah berbahaya.

Beliau berkata, penandaan sebagai TCO  dilakukan oleh satu cawangan khusus yang bertindak seolah-olah beliau adalah seorang yang terlibat dengan sindiket atau gengster.

“Saya telah dilabel dan ditandai sebagai ‘TCO’ dalam sistem kawalan sempadan, oleh satu pihak cawangan khusus. Seolah-olah saya ini adalah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan satu sindiket dan gangster, atau persona non grata – di tanah air saya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Samsuri menyifatkan pengalaman itu amat mengecewakan kerana setiap kali keluar masuk sempadan, termasuk ke Sabah dan Sarawak, beliau perlu mendapat kelulusan khas dari satu cawangan tertentu.

Catat Ulasan

0 Ulasan