Penganalisis politik, Lim Sian See menyifatkan tindakan BERSIH mengecam Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kerana mengumumkan peruntukan semasa pilihan raya kecil berlangsung sebagai perbuatan sia-sia.
Menurut beliau, kecaman demi kecaman yang dilemparkan oleh BERSIH tidak membawa sebarang kesan terhadap Kor Ming yang dilihat terus bebas mengumumkan jutaan ringgit peruntukan kerajaan tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkuasa.
“Apa gunanya BERSIH berulang kali kecam Menteri Madani-DAP, Nga Kor Ming, sebab umum peruntukan kerajaan masa pilihan raya kecil sedang berlangsung?
“Kor Ming peduli apa pun. Nampak sangat dia langsung tak kisah,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Sian See berkata, tindakan sedemikian bukan perkara baharu kerana menteri berkenaan telah beberapa kali melakukan pengumuman peruntukan besar semasa tempoh berkempen dalam pilihan raya kecil sebelum ini.
“Bukan baru sekali dua dia buat. Dah berkali-kali dia umum peruntukan juta-juta masa PRK, dah berkali-kali BERSIH kecam, tapi apa gunanya untuk kecam?
“Langsung tak ada. Kor Ming tak pernah jawab. SPR dan SPRM pun senyap sunyi, buat-buat tak nampak. Macam tak berlaku apa-apa,” katanya.
Beliau turut menyenaraikan beberapa insiden terdahulu melibatkan Kor Ming, termasuk ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu di Selangor pada April 2024 apabila menteri itu mengumumkan peruntukan sebanyak RM5.21 juta.
“Pada PRK Sungai Bakap bagi DUN Pulau Pinang pada Julai 2024, BERSIH kecam lagi, kali ni sebab dia umum RM18 juta. Dan hari ini, masa PRK Air Kuning bagi DUN Perak, sekali lagi BERSIH kecam, sebab dia umum RM6.13 juta lagi,” katanya.
Tambah beliau, Kor Ming dilihat bebas merantau ke seluruh negara, menggunakan dana awam untuk mengumumkan peruntukan ketika kempen pilihan raya, tanpa menghiraukan sebarang kritikan.
“Selesa je Kor Ming merantau seluruh negara, guna duit Rakyat untuk tabur gula-gula berjuta-juta ikut suka, langsung tak peduli kecaman. Undang-undang pun dia anggap macam hiasan dinding,” ujarnya.
Sian See turut mempersoalkan sikap Kor Ming yang menurutnya berbeza jika perkara sama dilakukan oleh pemimpin Barisan Nasional.
“Kalau benda ni Najib buat, tak cukup tanah Nga Kor Ming nak jerit ‘Ini politik jijik, korup dan rasuah. I help you you help me!’
“Tapi bila DAP buat sendiri, tiba-tiba semua jadi halal, jadi reformasi,” katanya sinis.
Beliau juga mengkritik pendekatan BERSIH yang hanya sekadar mengeluarkan kenyataan tanpa tindakan konkrit.
“Jadi, cukup-cukuplah BERSIH buang masa keluarkan kenyataan yang tak ada siapa pun dalam kerajaan Madani peduli. Mereka buat muka tebal, langgar terang-terang, lepas tu senyum depan kamera.
“Sekarang kalau betul nak tunjuk serius, bukan masa lagi untuk taip kenyataan panjang berjela. Masa untuk turun ke jalan, berguling-guling macam zaman dulu. Kalau tidak, baik tutup kedai terus,” katanya.
0 Ulasan