Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyelar tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan 23 Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang didakwa menunggangi isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Menurut beliau, tindakan tersebut tidak wajar kerana kumpulan sama pernah diberikan peluang semasa berada dalam kerajaan, namun gagal menyelesaikan isu tersebut.
“Hamzah dan 23 Ahli Parlimen dari PN tidak perlu menunggangi isu Kg Sg Baru Kuala Lumpur yang mahu dibangunkan.
"Kamu mensia-siakan peluang itu masa jadi menteri dahulu,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Tambah Mohd. Puad, pada sesi perjumpaan bersama penduduk baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Sementara Penduduk, Zainab Alias sendiri telah menempelak rombongan Ahli Parlimen PN tersebut dengan mendakwa ada bekas menteri yang menyebelahi pihak pemaju.
Mengulas janji Hamzah untuk membawa isu itu ke Parlimen, Mohd. Puad mempersoalkan keberkesanan tindakan tersebut dalam menyelesaikan masalah berbangkit.
“Hamzah berjanji akan bawa isu itu ke Parlimen. Apakah itu akan selesaikan masalah?” soalnya.
Jelas beliau, projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang bermula sejak 2016 pada asalnya telah mendapat persetujuan majoriti penduduk.
“Projek 2016 ini awalnya dipersetujui oleh 260 penduduk. 37 lagi membantah,” katanya.
Mohd. Puad turut mengimbau kembali pengalaman penduduk di Kerinchi sekitar tahun 2012 yang turut berdepan isu sama namun akhirnya menerima nasib buruk kerana termakan hasutan pihak tertentu.
“Kita teringat projek Kerinci Residen tahun 2012. 408 penduduk setuju berpindah dan dapat pangsapuri tiga bilik berbanding flat asal satu bilik.
"34 membantah kerana hasutan wakil rakyat masa itu. Kini mereka terpaksa jadi penyewa rumah PPR,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar ruang perundingan digunakan sebaiknya dan penduduk tidak terpengaruh dengan pihak yang cuba menghasut dan mempolitikkan isu.
“Jangan dengar cakap penghasut yang menunggangi isu. Jangan ada yang rugi macam 34 penduduk Kampung Kerinci,” katanya.
0 Ulasan