Nasib mangsa bencana lebih terbela semasa zaman Najib

 


Nasib mangsa bencana lebih terbela semasa zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sentiasa prihatin dengan keperitan hidup rakyat.

Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, insiden banjir besar yang melanda Kelantan pada tahun 2014 menjadi bukti jelas bagaimana pendekatan luar biasa diambil kerajaan ketika itu dalam membantu mangsa bencana.

“Pada tahun 2014, Kelantan dilanda banjir besar yang dianggap antara paling buruk dalam sejarah negeri itu. Ribuan keluarga hilang tempat tinggal apabila rumah mereka ditenggelami air sepenuhnya.

“Ketika itu, Najib menggelar kejadian itu sebagai malapetaka besar yang memerlukan tindakan luar biasa,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Menurut Sian See, selain bantuan tunai dan makanan, mangsa turut menerima sumbangan barangan keperluan seperti tilam dan televisyen hasil bantuan yang diperoleh Najib daripada Arab Saudi.

“Kerajaan persekutuan dan Najib secara peribadi tampil segera bukan sahaja dengan bantuan makanan dan tunai, tetapi turut memberi perkakas rumah serta barangan elektronik gantian seperti TV dan tilam dari sumbangan yang dia dapat dari Arab Saudi dan juga melaksanakan projek pembinaan rumah kekal percuma untuk mangsa – satu langkah yang jauh melangkaui bantuan biasa.

“Kerajaan negeri pula sumbang tanah untuk pembinaan rumah kekal yang diusahakan kerajaan pusat itu,” katanya.

Jelas beliau, hanya sebulan selepas banjir melanda, projek pembinaan rumah kekal telah dilancarkan dan dilaksanakan dengan pantas di lokasi lebih selamat serta tersusun.

“Banjir bulan Disember 2014, pembinaan rumah gantian dilancar dan bermula bulan Januari 2015. Rumah-rumah gantian juga dibina di kawasan lebih selamat dari banjir dan dengan lebih tersusun.

“Daripada 1,804 unit yang dijanjikan, 844 telah siap dibina, manakala 243 lagi dalam fasa pembinaan ketika itu. Najib sendiri turun padang untuk lancarkan proses pembinaan dan juga menyerahkan kunci kepada penerima.

“Ramai penerima menyatakan rumah baharu mereka jauh lebih baik berbanding yang mereka miliki sebelum banjir,” katanya.

Sebaliknya, Sian See berkata, tragedi letupan paip gas di Putra Heights tahun ini memperlihatkan perbezaan ketara dari segi kecekapan dan pendekatan kerajaan kini dalam membantu mangsa.

“Letupan paip gas melibatkan paip milik syarikat kerajaan mengakibatkan kerosakan kepada 437 buah rumah, dengan 81 daripadanya musnah sepenuhnya.

“Di bawah pentadbiran PMX, kerajaan menyediakan bantuan tunai RM10,000 (RM5,000 dari kerajaan persekutuan dan RM5,000 dari Petronas) kepada mangsa rumah musnah, manakala pemilik rumah separa rosak serta penyewa menerima RM5,000,” katanya.

Kerajaan negeri Selangor pula, jelas beliau, hanya menawarkan bantuan sewa sementara dan sokongan psikologi tanpa sebarang pengumuman pembinaan semula rumah secara kekal.

“Kerajaan negeri Selangor pula menyumbang dalam bentuk bantuan sewa RM2,000 sebulan selama enam bulan, tempat tinggal sementara seperti Airbnb, bantuan zakat dan juga sokongan psikologi. 

"Namun, tiada sebarang pengumuman tentang pembinaan semula rumah kekal atau bantuan yang lebih menyeluruh dan lebih kekal,” ujar beliau.

Beliau menegaskan bahawa perbandingan kedua-dua insiden itu menunjukkan jurang ketara antara keprihatinan yang diamalkan pada era terdahulu dan pendekatan bersifat sementara yang dilakukan sekarang.

“Perbandingan kedua-dua insiden ini jelas menunjukkan dua pendekatan yang sangat berbeza. Di era Najib yang sering dilabel sebagai ‘zaman penyamun’, bantuan bukan sahaja sampai dengan laju, tetapi turut menyelesaikan masalah jangka panjang rakyat yang hilang tempat tinggal.

“Sementara di era Madani yang diagung-agungkan sebagai ‘bersih dan suci’, pendekatannya lebih bersifat tampal sementara, tanpa pelan pemulihan jangka panjang yang konkrit,” katanya.

Tambah Sian See, lebih ironi apabila zaman yang sering dituduh sebagai korup sebenarnya membawa pemulihan sebenar kepada mangsa, sedangkan kerajaan sekarang hanya menawarkan bantuan bersifat jangka pendek walaupun hutang negara terus meningkat.

“Ironinya, zaman yang dituduh sebagai gelap dan perompak itulah yang memberi cahaya kekal dan pemulihan penuh kepada berkali ganda lebih ramai mangsa tanpa hutang negara naik mencanak.

“Manakala era yang kononnya reformis yang naikkan hutang negara pada kadar tiga kali ganda lebih laju berbanding masa Najib, setakat beri lilin yang bakar untuk sementara sahaja,” katanya.


BACA LAGI

MENARIK



Catat Ulasan

0 Ulasan