MB Terengganu dikenakan kawalan perjalanan TCO, seolah-olah penjenayah berbahaya pula

 


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendedahkan, beliau telah dikenakan perintah kawalan perjalanan (TCO) dalam sistem kawalan sempadan, menjadikannya seolah-olah seorang penjenayah berbahaya.

Beliau berkata, penandaan sebagai TCO” atau  dilakukan oleh satu cawangan khusus yang bertindak seolah-olah beliau adalah seorang yang terlibat dengan sindiket atau gengster.

“Saya telah dilabel dan ditandai sebagai ‘TCO’ dalam sistem kawalan sempadan, oleh satu pihak cawangan khusus. Seolah-olah saya ini adalah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan satu sindiket dan gangster, atau persona non grata – di tanah air saya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Samsuri menyifatkan pengalaman itu amat mengecewakan kerana setiap kali keluar masuk sempadan, termasuk ke Sabah dan Sarawak, beliau perlu mendapat kelulusan khas dari satu cawangan tertentu.

“Sudah tentu saya sangat kecewa dengan keadaan ini. Ia bukan sekadar label, tetapi saya di ‘tahan’ dan dibawa ke tepi, satu panggilan akan dibuat dan perlu mendapat persetujuan satu cawangan khusus sebelum dibenarkan keluar dari kawalan sempadan, untuk setiap kali keluar-masuk sempadan, walaupun sekadar ke Sabah dan Sarawak sejak suku ketiga tahun 2024,” katanya.

Katanya, penandaan TCO membolehkan pihak tertentu memantau sepenuhnya pergerakan, komunikasi dan interaksi beliau atas alasan keselamatan negara, sedangkan realitinya ia digunakan sebagai senjata politik.

“Status ini membolehkan segala pergerakan, komunikasi, dan interaksi seseorang dipantau secara menyeluruh, senyap, dan berterusan. 

"Ia dilaksanakan atas nama ‘untuk keselamatan negara’ atau ‘untuk kestabilan politik’, tetapi realitinya sering digunakan sebagai alat politik dan cara mudah untuk untuk mengumpul maklumat politik pihak lawan, sebagai usaha untuk mengawal dan menekan suara tertentu,” ujarnya.

Tambah beliau, pemantauan terhadap dirinya amat ketara sehingga segala pertemuan dan perbualannya turut dilaporkan kepada pihak tertentu.

“Ke mana saya pergi, siapa yang saya temui, dan apa yang saya perbualkan – semuanya menjadi perhatian pihak tertentu dan perlu dilaporkan oleh satu cawangan khusus kepada pihak political master atau operator utamanya,” katanya.

Beliau turut mengakui telah diuji melalui beberapa kaedah mudah untuk membuktikan bahawa pergerakan dan komunikasinya sememangnya dipantau.

“Kita tidak perlu pun menjadi pintar untuk mengenal pastinya, dengan beberapa ujian dan umpanan mudah, perkara akan jelas seperti siang yang terang benderang.

“Kita tidak perlu mempunyai ilmu counter-surveillance untuk mengenal pasti anasir yang memantau kita – kerana kehadiran operatif dan elemen mereka adalah sangat ketara dan mudah dikenal pasti menerusi pemilihan kenderaan yang mereka gunakan, kereta yang statik, cara mereka berkomunikasi, pejalan kaki (spotter), dan sebagainya,” katanya.

Menurut beliau, penyalahgunaan TCO ini hanya berpunca daripada paranoia pihak tertentu yang berasa terancam secara tidak wajar.

“Ini berlaku adalah hanya untuk meredakan paranoia segelintir pihak, yang tanpa ada keperluan untuk merasakan tidak stabil dan terancam,” katanya.

Ahmad Samsuri turut mencadangkan agar wujud satu jawatankuasa khas Parlimen seperti Jawatankuasa Terpilih Risikan” bagi memastikan kuasa seperti TCO tidak disalahgunakan.

“Negara yang benar maju demokrasi dan institusinya, mempunyai ruang kawalan di bawah Parlimen seperti ‘Jawatankuasa Terpilih Risikan’ sebagai kuasa pengawal (oversight) untuk menghalang salah guna kuasa jentera dan aset kerajaan terutama oleh pihak berkepentingan politik dan kewangan.

“Dalam hal ini, sudah ada rakan Ahli Parlimen yang ingin membangkitkan salah guna kuasa TCO dalam sidang Dewan Rakyat yang akan datang,” katanya.

Beliau juga mendakwa, terdapat seorang lagi tokoh utama pembangkang yang menerima nasib sama dan menegaskan perkara itu tidak akan dibiarkan begitu sahaja.

“Sudah tentu saya dan rakan berkenaan tidak akan berdiam diri,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan bahawa penyalahgunaan sistem seperti ini boleh mengancam kebebasan individu dan membawa kepada kerosakan struktur negara.

“Penyalahgunaan sumber kerajaan sebagai senjata politik seperti ini – satu trend yang merosakkan kebebasan peribadi dan merubah struktur negara yang sepatutnya bersifat adil.

“Jika ini dibenarkan berleluasa, saya tidak hairan jika instrumen yang sama juga sedang digunakan terhadap orang awam, NGO, badan bebas, dan sesiapa sahaja yang mempunyai pandangan yang tidak sehaluan dengan parti pemerintah. Mungkin sedang digunakan pada masa ini,” katanya.

Ahmad Samsuri menyeru agar budaya politik negara diubah ke arah yang lebih matang dan terbuka.

“Negara ini tidak akan maju jika suara yang berbeza terus dibungkam, dan kuasa digunakan untuk menakut-nakutkan rakyat.

“Sudah tiba masanya kita membina budaya politik yang lebih matang, terbuka, dan sejahtera – di mana perbezaan pandangan bukan satu ancaman, tetapi asas kepada demokrasi yang sihat dan aktif,” tegasnya.

Beliau menambah, Malaysia hanya akan menjadi negara adil dan sejahtera jika kerajaan sanggup mendengar suara pelbagai pihak.

“Hanya dengan keberanian untuk berubah dan keterbukaan menerima pandangan yang pelbagai, barulah kita dapat melangkah ke arah sebuah Malaysia yang lebih adil, inklusif, dan benar-benar sejahtera untuk semua etnik, bangsa dan anutan agama yang ingin hidup dalam keamanan dan Malaysia yang sejahtera,” katanya.


BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan