PRK Ayer Kuning medan perkuatkan keserasian BN-PH

 


Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning merupakan medan seterusnya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menguatkan keserasian antara kedua-dua pihak yang berganding bahu dalam Kerajaan Perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, jika kerjasama itu terus diperkukuh melalui PRK berkenaan, maka naratif “No Anwar, No DAP” yang sering dimainkan pembangkang akan semakin tidak relevan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“BN membuktikan ia parti yang serius dan teliti kerana mempertaruhkan Dr. Mohamad Yusri Bakir sebagai calon PRK Ayer Kuning. 

"BN meneruskan naratif Nenggiri dan Mahkota iaitu ia boleh diterima semula oleh rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Menurut beliau, pengundi wajar memilih calon BN kerana kedudukannya dalam kerajaan negeri mampu memudahkan penyelesaian isu-isu tempatan secara lebih berkesan.

“Sewajarnya pengundi Ayer Kuning pilih Dr. Yusri. Ini kerana beliau calon parti Kerajaan Perpaduan di Perak. Lebih efektif jika dia terpilih. Isu tempatan lebih mudah diselesaikan,” katanya.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, akibat serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu. ​

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April ini, penamaan calon pada 12 April, dan pengundian awal pada 22 April. ​

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH, PN, Parti Pejuang Tanahair, dan Parti Sosialis Malaysia. ​


BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan