Kemenangan BN bukti kekuatan kerjasama Kerajaan Perpaduan

 


Kejayaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning semalam membuktikan kekuatan kerjasama dalam Kerajaan  Perpaduan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kemenangan itu juga menunjukkan pengiktirafan rakyat terhadap usaha berterusan memajukan Ayer Kuning demi kesejahteraan semua lapisan masyarakat. 

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada calon BN, Dr. Mohamad Yusri Bakir, yang telah berjaya memenangi PRK DUN Ayer Kuning. 

"Kemenangan ini adalah bukti jelas bahawa rakyat secara keseluruhannya terus meletakkan kepercayaan kepada BN untuk 

meneruskan agenda pembangunan dan kesinambungan kepimpinan yang telah dirintis oleh Allahyarham Ishsam Shahruddin sebelum ini. 

"Saya yakin Yusri akan menggalas amanah ini dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab," katanya dalam kenyataan media malam tadi. 

Azalina turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saraani Mohamad serta seluruh jentera BN dan Kerajaan Perpaduan yang telah bekerja keras tanpa mengira penat lelah sepanjang tempoh berkempen. 

"Setinggi penghargaan juga saya rakamkan kepada para pengundi DUN Ayer Kuning atas sokongan dan kepercayaan tidak berbelah bahagi kepada BN. 

"Amanah yang diberikan ini akan terus kami junjung dan diterjemahkan kepada khidmat terbaik untuk rakyat Ayer Kuning," jelasnya.

Mohamad Yusri memenangi PRK DUN Ayer Kuning dengan menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Abd. Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS. 

Beliau beroleh 11,065  undi manakala Abd. Muhaimin 6,059 undi dan Bawani 1,106 undi.

Ustaz Yusri mengatasi dengan majoriti 5,006 undi bagi mengekalkan penguasaan BN di kerusi tersebut.

BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

1 Ulasan