Polis sedang menyiasat insiden kekecohan di sebuah restoran di Menglembu, Ipoh semalam yang dipercayai berpunca daripada tindakan menghalang penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjalankan tugas mereka.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya telah mengesan video tular yang dimuat naik di Facebook oleh pemilik akaun ‘Happy Boss Network’ yang memaparkan tindakan penguatkuasaan MBI terhadap sebuah restoran di kawasan berkenaan.
“Video tersebut boleh ditonton melalui pautan berikut: https://www.facebook.com/share/v/1AFesMeMmJ/?mibextid=WWXIFR,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Susulan penularan video itu, katanya, polis menerima satu laporan pada pukul 6.43 petang semalam daripada seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang merupakan anggota penguat kuasa MBI.
Jelasnya, siasatan awal mendapati semasa pengadu bersama pasukan penguat kuasa menjalankan tugas sitaan kerusi dan meja berdasarkan aduan daripada Jabatan Kesihatan MBI, berlaku provokasi oleh salah seorang pekerja restoran berkenaan.
“Suspek bertindak mengeluarkan kata-kata kesat serta cuba menghalang anggota penguat kuasa daripada menjalankan tugas rasmi.
"Pengadu turut memaklumkan bahawa salah seorang anggota penguat kuasa telah ditumbuk oleh individu terbabit,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 353/186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil iaitu berkaitan kesalahan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan atau menghalang penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya, serta mengeluarkan kata-kata kesat.
“Polis kini sedang merakam keterangan daripada saksi-saksi yang terlibat bagi membantu siasatan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini diminta tampil memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Sheikh Fateeha Iman di talian 010-290 8095 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta mengelakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan masyarakat.
“Polis Diraja Malaysia memandang serius kejadian ini dan menyeru orang ramai agar bertenang serta tidak mengambil sebarang tindakan yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya.

0 Ulasan