Pencerobohan tanah adalah kemungkaran, khianat amanah dan jenayah syarie - Mufti Pahang

 


Pencerobohan tanah sama ada melalui perlombongan haram, penerokaan tanah, perladangan atau pembinaan infrastruktur tanpa kebenaran bukan sahaja satu pelanggaran undang-undang, bahkan merupakan satu bentuk kemungkaran, pengkhianatan amanah dan jenayah syarie yang membawa kepada kerosakan bumi serta penindasan terhadap rakyat. 

Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohd Naim berkata, pencerobohan tanah tersebut pula tidak boleh menggunakan konsep ihya' al-mawat kerana memberi mudarat kehilangan tanah yang besar kepada kerajaan untuk melaksanakan projek yang bermanfaat kepada seluruh rakyat. 

"Konsep ihya' al-mawat hanya dapat dilaksanakan jika ia menjadi dasar kerajaan. 

"Dalam konteks sekarang rakyat wajib mendapatkan kelulusan permit oleh kerajaan kerana semua rakyat tertakluk kepada undang-undang melalui Akta Kanun Tanah Negara 1965," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau dan Jabatan Mufti Negeri Pahang menjunjung titah Sultan Pahang Darul Makmur, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu pencerobohan tanah secara haram di negeri berkenaan. 

Katanya, titah baginda agar rakyat menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa adalah satu amanah besar demi menjaga kelestarian negeri serta kedaulatan undang-undang dan syarak.

Asmadi menambah, Islam menegaskan larangan keras terhadap perbuatan ini. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ ظَلَمَ قَيْدَ شِبْرٍ مِنْ أَرْضِ طَوَّقَهُ مِنْ سَبْعِ أَرَضِينَ

Yang bermaksud: "Sesiapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, maka akan dikalungkan di lehernya tanah itu dari tujuh lapis bumi pada hari kiamat." (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Beliau memberitahu, tindakan itu termasuk dalam kategori al-ghasab merampas hak orang lain secara zalim yang diharamkan oleh syarak. 

"la turut mencabul prinsip hifz al-mal (penjagaan harta) dalam maqasid al-syariah dan mencabar peranan ulil amri dalam memelihara keadilan dan kemaslahatan ummah," jelasnya.

Asmadi berkata, Jabatan Mufti Negeri Pahang menyeru pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan agar melaksanakan penguatkuasaan secara tegas, telus dan berintegriti, berpaksikan prinsip hisbah dan amar makruf nahi mungkar. 

"Tindakan ini hendaklah dilakukan secara konsisten," katanya.

Beliau menambah, rakyat jelata mesti mematuhi titah Sultan Pahang dengan bekerjasama menyalurkan maklumat berkenaan sebarang pencerobohan yang berlaku.

Katanya, semua pihak mesti memahami bahawa membiarkan kerosakan di bumi membawa kepada bala dan azab, sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَا تُفْسِدُواْ فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَحِهَا

Yang bermaksud: "Dan janganlah kalian membuat kerosakan di atas muka bumi setelah ia diperbaiki." (QS al-A'raf: 56)

"Jabatan Mufti Negeri Pahang menyokong penuh segala usaha kerajaan negeri dan agensi penguat kuasa dalam menangani isu ini, demi memastikan bumi Pahang terus diberkati dan dilindungi daripada segala bentuk kemudaratan duniawi dan ukhrawi," katanya.


BACA

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan