Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijadualkan bermula 1 Mei ini.
Menurut beliau, penangguhan perlu dibuat memandangkan sehingga kini pewartaan pelaksanaan tersebut masih belum dimuktamadkan dan tidak banyak bukti menunjukkan wujudnya perbincangan menyeluruh dengan pihak industri.
“Menurut jawapan Kementerian Kewangan kepada saya pada 6 Februari 2025, pelaksanaan SST yang disemak semula sepatutnya diwartakan dalam suku pertama tahun 2025 selepas perbincangan menyeluruh dengan pihak berkepentingan, agar ia boleh berkuat kuasa mulai 1 Mei 2025.
“Cadangan pelaksanaan ini termasuk kenaikan kadar cukai ke atas produk tertentu serta peluasan skop cukai, di samping kenaikan kadar cukai perkhidmatan dan peluasan skop yang telah pun dilaksanakan pada Mac 2024 lalu,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Tambah Ka Siong, sehingga kini pelaksanaan semakan semula SST itu belum diwartakan atau dibahaskan di Parlimen.
“Malah, memang tidak sempat dibincangkan pada sesi kedua persidangan Parlimen tahun ini yang dijadualkan pada 23 Jun 2025 sekiranya tarikh asal pelaksanaan peluasan skop SST masih tidak berubah iaitu kekal pada 1 Mei 2025.
“Memandangkan tarikh pelaksanaan yang diumumkan sebelum ini iaitu 1 Mei 2025 kini tinggal kurang daripada 25 hari, dan mengambil kira ketidaktentuan pasaran — terutamanya kepada sektor perkilangan dan eksport, maka saya menyeru kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan SST yang disemak semula ini,” ujarnya.
Ka Siong turut meminta kerajaan membuat penjelasan segera mengenai status pelaksanaan tersebut.
“Kerajaan perlu menyatakan dengan jelas sama ada pelaksanaan SST yang dijadualkan pada Mei 2025 ini telah dibatalkan atau ditangguhkan. Jika ditangguhkan, nyatakan dengan telus bila tarikh baharu yang disasarkan.
“Langkah ini akan membantu mengurangkan ketidaktentuan dalam pasaran dan membolehkan para peniaga serta pelabur merancang dengan lebih baik.
"Ia juga memberi sedikit ruang bernafas kepada rakyat yang sudah pun terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi dan dalam ketakutan terhadap tekanan ekonomi yang makin meningkat.
“Harap kerajaan memandang serius perkara ini dan menerima cadangan ikhlas saya ini demi kebaikan rakyat serta negara secara keseluruhannya,” katanya.

0 Ulasan