58 ahli Amanah dipecat sebab sertai pemilihan parti lain

 


Sebanyak 58 ahli Parti Amanah Negara (Amanah) telah dipecat oleh JKP parti setakat semalam atas kesalahan menyertai pemilihan parti politik lain. 

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, selain itu, sebanyak 51 surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada ahli yang disyaki terlibat. 

Menurut beliau, kegagalan mereka menjawab surat itu juga boleh membawa kepada implikasi pemecatan.

"Amanah berharap agar tindakan yang dikenakan ini boleh menjadi peringatan yang tegas kepada ahli-ahli Amanah.

"Semua ahli Amanah diminta supaya mematuhi disiplin berorganisasi dengan berpandukan kepada Perlembagaan dan Tatacara Amanah," katanya dalam kenyataan media hari ini. 

Tambah Muhammad Faiz, partinya mengambil serius laporan dan aduan berhubung tindakan segelintir ahli Amanah yang telah mendaftar sebagai ahli parti politik lain serta terlibat dalam pemilihan parti politik berkenaan.

Beliau memberitahu, Perlembagaan Amanah memperuntukan bahawa tindakan tersebut boleh membawa implikasi tindakan tatatertib termasuk pemecatan keahlian. 

"Untuk memastikan pelanggaran disiplin ini dapat ditangani secara teratur, harmoni dan berkesan, sebanyak dua bentuk tindakan telah dilaksanakan iaitu pemecatan keahlian serta-merta atau siasatan lanjut yang bergantung kepada keseriusan pelanggaran," jelasnya.

BACA LAGI

MENARIK



Catat Ulasan

0 Ulasan