Berikut adalah kenyataan media Exco Pemuda Barisan Nasional (BN) merangkap Bendahari Pemuda UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu hari ini:
Sempena bahang Pilihan Raya Negeri Sabah yang kian dirasai, saya ingin menyeru semua pihak khususnya para pemimpin politik tanpa mengira latar belakang parti agar meredakan suhu politik yang semakin memuncak.
Dalam konteks semasa, apa yang jauh lebih utama bukanlah retorik mahupun persepsi politik, tetapi tindakan nyata yang membumi. Rakyat memerlukan kehadiran kita. Mereka ingin didampingi, didengari, dan difahami. Turunlah padang, selamilah denyut nadi rakyat, rasai keresahan mereka dan carilah penyelesaian bersama.
Saya tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa apabila melihat landskap politik negeri ini dipenuhi dengan perbalahan terbuka dan pertikaman lidah yang tiada kesudahan.
Di saat rakyat bergelut dengan isu sara hidup, akses terhadap perkhidmatan asas, dan masa depan anak-anak mereka, sebahagian pemain politik masih ghairah berbalas kenyataan dan berteka-teki kuasa.
Apa juga yang ingin diperjuangkan baik isu MA63 mahupun semangat ‘Sabah for Sabahan’ haruslah dilihat dalam kerangka lebih inklusif.
Isu hak dan masa depan Sabah bukan hak eksklusif mana-mana parti.
Ia adalah amanah bersama, tanggungjawab kolektif semua yang mengaku pejuang rakyat.
Oleh itu, saya menyeru semua pihak agar menghentikan naratif sempit dan sentimen perpecahan yang hanya mengelirukan rakyat.
Perpaduan, kematangan, dan kesungguhan untuk memajukan negeri ini harus menjadi asas kepada segala tindakan kita.
Cukuplah kita memperdagangkan persepsi, kini masanya untuk membina semula kepercayaan rakyat dengan kerja, bukan cuma cakap.

0 Ulasan