Berikut adalah kenyataan media Sekretariat Undur Azam Baki hari ini:
Kami, Sekretariat Undur Azam Baki, ingin memaklumkan kepada umum bahawa satu himpunan rakyat akan diadakan pada Sabtu, 24 Mei 2025, jam 8.00 malam, bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan suatu tindakan yang mencemarkan prinsip integriti dan kebertanggungjawaban institusi awam. Langkah ini adalah satu penghinaan yang nyata oleh pihak Kerajaan Madani terhadap usaha memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran dan keadilan negara.
Himpunan ini dianjurkan sebagai platform rakyat untuk menyuarakan pendirian tegas menolak pelantikan tersebut dan menuntut reformasi menyeluruh terhadap institusi SPRM. Kami juga menyahut seruan kempen #TangkapAzamBaki, yang telah mula diperjuangkan oleh Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) pada tahun 2022, dan kini kami meneruskan desakan ini melalui pidato serta pengucapan awam di Dataran Merdeka.
Tuntutan Kami:
1. Pengunduran serta-merta Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
2. Pelaksanaan reformasi institusi SPRM agar benar-benar bebas, telus dan bertanggungjawab.
Sehubungan itu, kami menyeru seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap maruah dan integriti negara untuk bersama-sama menghadirkan diri dan menyatakan solidariti dalam himpunan ini.
Sekian, terima kasih.
0 Ulasan