Berikut adalah kenyataan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki semalam:
Sekonyong-konyong Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, menyatakan beliau telah dipelawa melalui hantaran mesej untuk menyertai PAS. Tidak dijelaskan dengan lebih lanjut, siapakah yang menghantar mesej-mesej kepada beliau mempelawa beliau menyertai PAS? Sekiranya yang mempelawa itu masyarakat awam yang menyokong PAS, sewajarnya Rafizi tidak mengheboh-hebohkan pelawaan tersebut. Lainlah jika yang mempelawa itu pemimpin-pemimpin utama PAS, ia memang satu penghormatan.
Sebenarnya PAS sentiasa membuka pintu kepada sesiapa sahaja dari kalangan umat Islam di Malaysia untuk menyertai parti ini. Di dalam Perlembagaan PAS, syarat untuk menyertai PAS ialah seorang warganegara Malaysia Muslim yang akil baligh. Selain daripada itu, bagi warganegara bukan Muslim pula mereka boleh memohon menyertai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang memperolehi kebanyakan hak-hak sebagai ahli PAS. Oleh sebab itu, tanpa pelawaan pun Rafizi sebenarnya boleh masuk PAS.
Bagaimanapun, di samping tiga syarat di atas, iaitu warganegara Malaysia, Islam dan Akil Baligh, ada satu lagi syarat yang mungkin tidak sesuai untuk Rafizi, iaitu mengaku menerima serta taat kepada Perlembagaan PAS, peraturan, arahan-arahan dan keputusan PAS. Dengan pengertian lain, seseorang ahli PAS mesti berjuang untuk mendaulatkan Islam dan mempertahankan kesuciannya. Berkaitan dengan mendaulatkan Islam ini pula, ia terkait dengan empat teras Perlembagaan Persekutuan.
Sejak dari PAS ditubuhkan pada tahun 1951, inilah citra perjuangan PAS, iaitu memperjuangkan tertegaknya hukum-hukum dan nilai-nilai Islam dalam bernegara. Disebabkan Islam di Malaysia berhubung rapat dengan kaum majoriti yang menjadi penduduk asal di Malaysia, maka PAS turut mempertahankan kedudukan kaum Bumiputera tanpa menafikan hak kaum-kaum lain. Pada pemerhatian saya, kedua-dua citra perjuangan PAS ini tidak ada pada Rafizi, justeru beliau tidak sesuai menyertai PAS.
Sepanjang Rafizi aktif di dalam politik Malaysia, tidak pernah kita lihat beliau berada di barisan hadapan untuk mendaulatkan Islam dan mempertahankan kesuciannya. Demikian juga, tidak pernah beliau tampil dengan lantang ke persada utama untuk mempertahankan kedudukan kaum Bumiputera, apalagi membela hak-hak golongan tersebut seperti yang sedia termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Perjuangan politik Rafizi dilihat lebih bercitrakan aliran politik golongan kanan daripada Barat.
Selain daripada itu, PAS adalah sebuah parti yang keputusan-keputusan politiknya dibuat berteraskan kehendak Islam. Setiap keputusan-keputusan dasar berkaitan politik PAS khususnya yang berkaitan dengan hukum dan halatuju, diputuskan oleh organisasi pemutus dasar yang tertinggi di dalam PAS iaitu Majlis Syura Ulama (MSU). Seperti yang dimaklumi, anggota-anggota MSU PAS adalah terdiri dari kalangan para ulama yang faqih, yang mana kualiti kelayakan seperti ini tidak ada pada Rafizi.
Sebagai Timbalan Presiden PKR, Rafizi sudah tentu terbiasa untuk terlibat secara langsung dengan proses memutuskan dasar dan halatuju parti. Namun begitu, sekiranya beliau menyertai PAS selepas ini, beliau tiada tempat untuk terlibat secara langsung dengan proses itu, kecuali beliau selepas ini melengkapkan diri menjadi seorang ulama yang faqih. Sebab itu di dalam PAS, lazimnya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden di pilih dari kalangan ulama kerana mereka perlu terlibat langsung dengan proses itu.
Saya tidak berminat untuk campurtangan dengan urusan pemilihan PKR, tetapi bila PAS sering dikaitkan dalam kempen-kempen mereka, maka saya mengulas mana yang wajar. Kelihatannya agak sukar untuk Rafizi mempertahankan kedudukan Timbalan Presiden yang beliau sandang sekarang. Dari pemerhatian luaran, sokongan akar umbi PKR berpihak kepada Nurul Izzah Anwar, meskipun golongan atas pagar yang tidak terlibat sebagai pemilih PKR kuat berpihak kepada Rafizi. Jadi, bagaimana kalau Rafizi kalah?
Menurut unjuran saya, jika Rafizi kalah beliau tidak akan menyertai PAS, sebaliknya beliau akan bertindak seperti beberapa orang tokoh politik Malaysia beraliran kanan. Tidak juga mustahil, tokoh-tokoh politik beraliran kanan ini akan mewujudkan gabungan ketiga bagi menghadapi PN dan PH-BN dalam PRU akan datang. Politik Malaysia menjadi menarik bila Rafizi, Khairy Jamaluddin, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Syahril Hamdan dan seumpamanya berada di dalam satu gabungan selepas ini. Mungkin MCA dan MIC juga bersama.

0 Ulasan