Isu Jalur Gemilang: PAS sokong tindakan tegas pihak berkuasa

 


PAS menyokong langkah yang diambil pihak berkuasa terhadap kesilapan pada logo Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) 2025 anjuran PAS Terengganu yang memaparkan imej Jalur Gemilang dengan bilangan bucu bintang serta jalur merah-putih tidak lengkap.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS berkongsi sentimen dan gesaan banyak pihak supaya siasatan dan tindakan tegas diambil di bawah undang-undang ke atas mana-mana pihak yang gagal menunjukkan kepekaan dan rasa hormat sewajarnya terhadap simbol-simbol negara, termasuk Jalur Gemilang.

Menurut beliau, insiden seperti itu semakin kerap berlaku kebelakangan ini bukan sahaja melibatkan individu, tetapi juga organisasi media, badan politik, malah kementerian kerajaan sendiri.

“PAS akui kejadian terbaharu ialah kesilapan pada logo Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) 2025 anjuran PAS Terengganu yang memaparkan imej Jalur Gemilang dengan bilangan bucu bintang serta jalur merah-putih tidak lengkap.

“Atas kesedaran tentang kekhilafan itu, PAS Terengganu telah membuat permohonan maaf terbuka dan membetulkan kesilapan tersebut dengan kadar segera sebaik sahaja ditegur, malah mengambil tindakan terhadap petugasnya yang terlibat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Takiyuddin menambah, PAS sejujurnya bersetuju dan akur bahawa permohonan maaf semata-mata tanpa tindakan yang lebih tegas tidak boleh dinormalisasikan sebagai jalan penyelesaian bagi kesilapan sedemikian.

“Justeru, dalam masa PAS mengalu-alukan tindakan dalaman yang diambil oleh pihak-pihak terlibat berkait kes-kes yang berlaku ini, PAS juga menyokong langkah pihak berkuasa menjalankan tanggungjawabnya bawah undang-undang secara telus, adil dan tegas bagi memastikan ketidakpekaan, kecuaian atau kesilapan sama tidak berulang.

“Sebagai warganegara, PAS percaya semua pihak wajib menunjukkan rasa hormat dan bangga tertinggi terhadap simbol-simbol negara pada setiap masa dan keadaan sebagai cerminan jati diri kebangsaan dan patriotisme kita,” katanya.




Catat Ulasan

0 Ulasan