Berikut adalah kenyataan media Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Ahmad Fakhrul Anuar Ismail hari ini:
Tragedi yang meragut 9 nyawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan bukan sekadar insiden lalu lintas biasa — ia adalah petanda jelas wujudnya kelompongan besar dalam keselamatan dan penyelenggaraan kenderaan operasi.
Malangnya, kurang 24 jam selepas kejadian, tumpuan ramai telah dialihkan kepada sejarah peribadi pemandu. MSOSH memandang serius perkara ini dan ingin mengingatkan bahawa:
ISU UTAMA: KEGAGALAN PENYELENGGARAAN & TEKNIKAL KENDERAAN
Fokus utama seharusnya kepada punca sebenar kemalangan – adakah sistem brek gagal? Adakah terdapat masalah teknikal yang diabaikan? Semua ini adalah tanggungjawab majikan atau pihak yang menyelenggara kenderaan.
Bukan rekod saman yang menyebabkan tayar pecah atau brek tidak berfungsi.
WARTAWAN & PENYIASAT – KEKALKAN PROFESIONALISME
MSOSH menyeru:
Wartawan dan pasukan penyiasat agar menjaga etika pelaporan dan penyiasatan, tidak mengheret isu lampau individu yang tiada kaitan langsung dengan kejadian.
Pengamal media perlu lebih berhati-hati agar tidak menimbulkan persepsi tidak adil, terutamanya sebelum hasil siasatan rasmi didedahkan.
Fokus penyiasatan perlu kepada sistem, prosedur dan aspek teknikal, bukan mencari kambing hitam untuk tatapan umum.
MSOSH menegaskan bahawa keselamatan anggota hadapan negara bukan perkara remeh. Majikan mesti bertanggungjawab ke atas keadaan fizikal kenderaan yang digunakan. Pengabaian penyelenggaraan adalah satu kecuaian yang boleh membawa maut.
“Jangan salahkan pemandu jika sistem yang sepatutnya melindunginya gagal.”

0 Ulasan