Bebaskan pelarian Rohingya dalam tahanan, benarkan mereka bekerja - MERHROM

 


Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya di Malaysia (MERHROM) merayu kepada kerajaan Malaysia, Thailand dan India agar membebaskan semua pelarian Rohingya dalam tahanan dan membenarkan mereka bekerja sehingga genosid di Myanmar berakhir.

Presidennya, Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, rayuan itu dizahirkan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dengan harapan isu penindasan terhadap etnik minoriti itu diberi perhatian sewajarnya.

“Kami ingin mengingatkan semua pihak bahawa kegagalan untuk menunjukkan iltizam politik dalam menyelamatkan nyawa etnik Rohingya dan rakyat Myanmar hanya akan membiarkan genosid dan kekejaman terus berlaku, sekali gus menghapuskan Rohingya dari muka bumi.

“Tolong hentikan ini segera. Kami perlukan sokongan antarabangsa untuk pulih, menyembuhkan luka dan membina semula kehidupan. Buktikan kepada kami bahawa kemanusiaan masih wujud,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Zafar berkata, pihaknya merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN agar menggunakan kedudukan tersebut untuk menamatkan genosid terhadap Rohingya dan kekejaman di Myanmar, serta memulihkan demokrasi di negara berkenaan.

Katanya, situasi di Rakhine dan seluruh Myanmar telah memaksa rakyatnya, bukan sahaja Rohingya, tetapi dari pelbagai etnik lain, melarikan diri ke negara-negara jiran sehingga ke hari ini.

“Bukan sahaja Rohingya yang terpaksa mencari perlindungan, malah etnik lain juga turut lari menyelamatkan diri. Keadaan ini bukan sekadar isu Rohingya, tetapi mencerminkan penderitaan seluruh rakyat Myanmar.

“Namun sayangnya, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN sendiri telah gagal menghentikan genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan yang sudah berlarutan selama beberapa dekad,” katanya.

Menurutnya, adalah mustahil untuk memajukan kerjasama serantau dan pembangunan mampan selagi jenayah terhadap Rohingya masih berlaku dalam ASEAN dan memberi kesan kepada negara-negara anggotanya serta masyarakat global.

Katanya, genosid itu telah mengakibatkan ratusan ribu lelaki, wanita dan kanak-kanak Rohingya dibunuh, dirogol, diseksa, dipenjara, diperdagangkan dan dieksploitasi sehingga mengorbankan banyak nyawa akibat kekejaman sindiket pemerdagangan manusia di negara jiran.

“Siapa yang bertanggungjawab terhadap keselamatan Rohingya, terutama wanita dan kanak-kanak? Tidak ada apa yang berubah walaupun ribuan laporan diterbitkan, ribuan testimoni mangsa genosid direkodkan dan ribuan lawatan dibuat ke kem pelarian terbesar dunia.

“Kami menyeru agar Pengerusi ASEAN dan negara-negara anggota menilai semula hubungan mereka dengan Myanmar, dan bertanya sama ada wajar untuk terus menjalin hubungan dagang dengan sebuah negara yang telah melakukan genosid terhadap etnik minoriti,” ujarnya.

Tambah beliau, dunia kini seolah-olah telah kebal terhadap jenayah terhadap kemanusiaan kerana ia dibiarkan berlaku secara terang-terangan selama beberapa dekad.

“Kita menyaksikan kematian demi kematian tanpa sebarang keadilan kepada mangsa, dan tanpa sebarang tindakan terhadap pelaku. Kita masih dalam keadaan penafian selagi tiada usaha untuk menghentikan genosid dan memulihkan demokrasi di Myanmar.

“Genosid terhadap Rohingya merupakan satu titik hitam dalam sejarah ASEAN dan dunia. Bagaimana kita boleh bercakap tentang pembangunan dan kestabilan serantau tanpa menjamin keselamatan komuniti ASEAN itu sendiri?

“Kita perlukan kepimpinan bermoral untuk menghentikan genosid dan kekejaman serta menjamin kestabilan, keamanan dan kemakmuran ASEAN dan seluruh dunia,” katanya.

Menurutnya, MERHROM sekali lagi merayu kepada Pengerusi ASEAN dan negara-negara anggota agar segera mengambil tindakan sewajarnya untuk menghentikan serangan genosid terhadap baki minoriti Rohingya di Negeri Rakhine.

“Kami benar-benar memerlukan suara dan kepimpinan anda untuk menghentikan genosid terhadap Rohingya supaya kami dapat kembali ke tanah air,” katanya.





Catat Ulasan

0 Ulasan