Timbalan Pengerusi Biro Perpaduan Nasional dan Keharmonian Kaum MCA, Roger Yapp berkata, kaum-kaum bukan Melayu turut menyumbang kepada pembangunan negara.
Menurut beliau, menghormati kedudukan istimewa orang Melayu tidak bermakna menafikan hak dan sumbangan kaum lain.
“Kaum Cina, India, dan masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak juga telah menyumbang kepada pembangunan negara ini.
"Mereka lahir, membesar, bekerja, dan membayar cukai di sini. Mereka juga menyanyikan lagu kebangsaan dan menghormati bendera negara," katanya dalam kenyataan media semalam.
Roger mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh yang menegaskan bahawa negara ini adalah Tanah Melayu selama-lamanya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda MCA Sabah menyatakan, kedudukan istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan tidak pernah dipertikaikan.
Namun, beliau mengingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang dibentuk oleh pelbagai kaum dan wilayah, termasuk Sabah dan Sarawak.
“Saya tidak pernah mempertikaikan Perkara 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
"Namun, kita juga harus mengiktiraf bahawa Malaysia dibentuk pada tahun 1963 melalui penyertaan Sabah, Sarawak, dan Singapura (yang kemudian keluar), bersama Persekutuan Tanah Melayu.
“Apabila seseorang menyatakan bahawa Malaysia ‘selamanya’ adalah Tanah Melayu, adakah mereka telah bertanya kepada rakyat asal Sabah dan Sarawak? Adakah suara komuniti seperti Kadazan, Dusun, Iban, dan Bidayuh diambil kira?” soalnya.
Roger juga mengingatkan bahawa Perkara 153 juga menyatakan tanggungjawab untuk melindungi kepentingan sah komuniti lain.
“Ini adalah semangat kontrak sosial yang menjadi asas pembentukan negara kita,” katanya.
Beliau menyeru agar pemimpin politik menunjukkan semangat inklusif dan konstruktif dalam kenyataan mereka.
“Malaysia adalah milik semua rakyatnya. Kita harus membina masa depan berdasarkan persefahaman, kepercayaan, dan matlamat bersama, bukan berdasarkan ketakutan atau perpecahan," jelasnya.

0 Ulasan