Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan tindakan Bersatu cuba berselindung di sebalik agenda penyatuan Melayu bagi menyelamatkan parti itu.
Beliau turut mengingatkan Bersatu agar jangan bermain politik dengan mengheret institusi diraja dalam usaha menjayakan agendanya.
"Tidak ada siapa yang membantah seranan Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa raja-raja Melayu boleh memainkan peranan menyatukan parti orang Melayu supaya ia lebih dominan.
"Masalahnya kenapa bila Yang di-Pertuan Agong ke-16 memberi nasihat parti parti politik sertai kerajaan perpaduan, PN khususnya Bersatu menolak mentah mentah? Walhal ia membantu politik Melayu dominan," katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Mohd. Puad menambah, tindakan Bersatu mengheret institusi diraja menyebabkan keikhlasan Bersatu diragui.
Beliau percaya Bersatu dalam keadaan tersepit kerana bimbang lambat-laun ia tidak lagi relevan apa lagi jika ditinggalkan oleh PAS.
"Bersatu tahu, UMNO tidak berminat untuk bergabung dengan parti itu. Justeru Bersatu jangan main politik dengan mengheret pihak Istana.
"Lagi pun Bersatu tidak layak bercakap pasal penyatuan. Ia serpihan UMNO," jelasnya.

0 Ulasan