PKR Pahang menyatakan sokongan terbuka kepada Nurul Izzah Anwar sekiranya anak Perdana Menteri itu menawarkan diri untuk mencabar Datuk Seri Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden parti.
Pengerusinya, Rizal Jamin berkata, Nurul Izzah dengan gelaran Puteri Reformasi bukan asing dalam pentas perjuangan PKR.
Menurutnya, beliau telah membuktikan keteguhan prinsip dan iltizamnya sejak hari pertama gerakan reformasi digerakkan.
"Dengan pengalaman sebagai bekas Naib Presiden parti, Ahli Parlimen bagi dua penggal, aktivis hak asasi manusia dan pejuang pembaharuan institusi negara, beliau membawa bersama kekuatan nilai dan wawasan yang amat diperlukan untuk memimpin parti menghadapi cabaran mendatang.
"Parti ini harus diwarisi oleh pimpinan baru yang segar dan bertenaga. Pencalonan beliau adalah soal masa depan PKR sebagai parti yang terus relevan dan diyakini rakyat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Rizal berkata, dalam dunia politik hari ini yang semakin mencabar, PKR memerlukan pemimpin yang mampu menjadi jambatan antara generasi pengasas reformasi dan generasi baharu yang bakal mewarisi perjuangan.
Beliau percaya bahawa Nurul Izzah mampu membawa nilai kesederhanaan, ketegasan prinsip dan daya fikir progresif yang amat penting dalam menyuntik semangat baharu dalam parti.
"Beliau juga diyakini mampu memperkukuhkan lagi sinergi antara PKR dan rakan-rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.
"Semoga pencalonan ini mendapat sokongan seluruh anggota dan membuka lembaran baru dalam usaha memacu PKR sebagai parti masa depan untuk Malaysia yang lebih adil, progresif dan inklusif. Reformasi!" jelasnya.

0 Ulasan