![]() |
| Gambar: Facebook Anwar Ibrahim |
Pelantikan Ahli Dewan Negara, Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebagai ahli Jawatankuasa Khas Menangani Rasuah (JKMR) merupakan penghormatan besar yang seiring dengan komitmen PAS dalam memperjuangkan usaha membanteras rasuah di negara ini.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rasuah bukan sahaja merupakan wabak yang merosakkan sistem pentadbiran negara, malah ia adalah perbuatan yang dilaknat oleh Allah SWT, melibatkan semua pihak sama ada pemberi, penerima mahupun mereka yang membiarkan perbuatan tersebut berlaku.
Menurut beliau, natijah daripada jenayah tersebut boleh menggugat kestabilan dan keharmonian negara serta menjejaskan tata kelola pentadbiran yang baik.
"PAS berpegang teguh bahawa usaha memerangi rasuah tidak hanya bergantung kepada tindakan penguatkuasaan dan perundangan, tetapi juga perlu diperkasa melalui pendekatan spiritual.
"Menanamkan rasa takut kepada Allah SWT dalam jiwa setiap individu adalah asas kepada pembentukan integriti dan kejujuran dalam masyarakat.
"Semoga pelantikan ini menjadi medan untuk YB Senator memberikan sumbangan bermakna dalam memperkukuh kesedaran awam terhadap bahaya rasuah serta memperjuangkan nilai-nilai integriti dalam masyarakat dan pentadbiran negara," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Nik Abduh menerima surat cara pelantikan ahli JKMR daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Beliau dalam hantaran Facebook hari mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas mandat dan kepercayaan yang diberikan.
"Berkhidmat untuk agama dan negara," katanya.

0 Ulasan