Berikut adalah kenyataan Ketua PKR Cabang Johor Bahru. Taufiq Ismail hari ini:
Saya merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Rafizi Ramli dalam podcast ‘Yang Bakar Menteri’ semalam yang menyinggung serta melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap saya, Taufiq Ismail selaku Ketua Cabang Johor Bahru yang baharu dipilih bagi penggal 2025-2028.
Full video podcast:
Adalah sangat dikesali apabila seorang pemimpin kanan seperti YB Rafizi memilih untuk membuat kenyataan bersifat peribadi yang tidak berlandaskan fakta dan hanya mencetuskan persepsi negatif terhadap saya yang hanya mahu lakukan perubahan positif dan berusaha membina semula kekuatan di peringkat akar umbi Cabang Johor Bahru. Tuduhan yang dilemparkan tidak disertakan dengan sebarang bukti yang konkrit dan ianya jelas berniat untuk meremehkan sumbangan serta keupayaan saya sebagai Ketua Cabang. Beliau melabel saya sebagai :
-Seorang ‘budak yang kita tak pernah kenal’
Kenyataan ini bukan sahaja tidak wajar dan tidak berfakta, malah bertentangan dengan semangat demokrasi serta prinsip hormat-menghormati dalam parti. Saya bukan “budak” seperti yang digambarkan, tetapi saya seorang aktivis akar umbi yang telah berkhidmat, berjuang dan membina kepercayaan anggota parti hingga diberikan mandat sebagai Ketua Cabang pada hari ini. Hanya kerana saya bertanding melawan Akmal Nasir dan tidak berada dalam lingkungan dalaman tertentu tidak bermakna saya tidak dikenali atau tidak berkelayakan.
Parti ini tidak dimiliki oleh satu kelompok elit sahaja. Ia adalah milik seluruh rakyat yang menganggotainya dan anggota yang bekerja tanpa henti di peringkat bawah. YB juga ada menyebut ‘Kartel’ baharu yang akan muncul dan kena ingat Kartel itulah yang sedang dibina oleh pasukan HIRUK itu sendiri apabila mewujudkan perbezaan dan jurang yang besar dengan membeza-bezakan latar belakang pendidikan dan mengasingkan diri untuk kelihatan seperti golongan elit dan tidak pandang ke bawah. Golongan ini juga lah yang boleh diklasifikasikan sebagai ‘Pak Turut’ dan ‘Kaki Ampu’ seperti mana yang dicakap oleh YB sendiri. Kenyataan seperti ini mengabaikan realiti bahawa ramai pemimpin muda dan baharu telah muncul dengan keupayaan sendiri melalui kerja keras dan komitmen terhadap perjuangan parti.
Saya juga menegaskan bahawa tuduhan dan penghinaan peribadi seperti ini hanya melemahkan perpaduan parti dan mencerminkan ketidakmatangan dalam berpolitik. Untuk pengetahuan YB, Saya merupakan Ketua AMK Negeri Johor dan mantan Ketua AMK Cabang Johor Bahru bagi penggal yang lepas . Jika benar YB Rafizi tidak mengenali Taufiq Ismail lagi, mungkin sudah tiba masanya YB wajib dan harus lebih turun ke bawah dalam menyantuni pemimpin-pemimpin akar umbi yang sedang giat bekerja untuk parti. Saya menyeru agar YB Rafizi menghentikan sebarang bentuk penghinaan terbuka terhadap pemimpin parti yang telah sah dipilih.
-Kelayakannya yang ‘tiada kerja tetap’ dan tiada sebarang rekod
Kenyataan ini adalah tidak wajar, bersifat prejudis, dan tidak mencerminkan budaya politik matang yang sepatutnya diamalkan oleh pimpinan tertinggi parti. Saya terlibat secara langsung dalam memenangkan Akmal Nasir pada PRU 14 dan PRU 15 dan juga pernah memegang jawatan Setiausaha Cabang dan Setiausaha Pengelola Cabang yang mana saya berperanan terus memberi perkhidmatan kepada peringkat akar umbi Ranting dan telah menyumbang dalam gerakan reformasi, khususnya dalam kalangan generasi muda yang mahukan perubahan tulen dalam arena politik semasa.
Adalah sangat dangkal untuk menilai kelayakan seseorang pemimpin semata-mata berdasarkan status pekerjaan atau hubungan peribadi dengan pimpinan atasan. Bagi pengetahuan umum, saya bekerja secara tetap sebagai Mekanik Automotif di sebuah syarikat milik kepunyaan ayah saya dan ia merupakan kerja hakiki saya sejak 8 tahun yang lalu. Rekod saya juga memang tidak pernah digajikan oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru dan selama ini pergerakan saya hanyalah melalui Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan kadang kala sekiranya tidak cukup, duit gaji saya akan saya gunakan untuk kelangsungan Parti.
Parti ini ditubuhkan untuk memperjuangkan keadilan, bukan untuk memperkukuh kasta politik. Ramai pejuang rakyat yang hebat memulakan perjuangan mereka dalam keadaan serba kekurangan tanpa kerja tetap, tanpa jawatan besar tetapi kaya dengan semangat, prinsip dan kesungguhan untuk membela rakyat.
Saya dipilih sebagai Ketua Cabang secara sah dan demokratik, dan mendapat sokongan akar umbi hasil daripada kerja keras saya dan pasukan selama ini. Rekod saya dan pasukan mungkin tidak tercatat dalam lensa media arus perdana atau radar kelompok elit, tetapi tercatat dalam hati anggota-anggota parti dan sukarelawan yang pernah berjuang bersama saya.
Tuduhan dan penghinaan terbuka ini tidak hanya mencemarkan nama individu, tetapi juga melemahkan semangat ramai anak muda dan aktivis yang sedang membina tapak dalam parti. Jika parti hanya mengiktiraf mereka yang memiliki latar belakang “kerja tetap” atau hubungan dalaman, maka ia telah tersasar jauh dari cita-cita reformasi yang menjadi asas penubuhannya.
Saya menyeru agar YB Rafizi menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka atas penghinaan yang dilemparkan. Politik peribadi dan elitisme tidak boleh terus dibiarkan memadamkan semangat anak muda yang ikhlas berjuang untuk parti dan negara.
-Team dan Cai Akmal Nasir semua menang
Kemenangan saya dibuat melalui proses yang sah dan mengikut perlembagaan parti. Jawatan Ketua Cabang , Timbalan Ketua Cabang, Naib Ketua Cabang dan 5 orang Ahli Jawatankuasa Cabang dimenangi oleh pasukan saya. Justeru itu, menjadi tanda tanya dimanakah yang dikatakan ‘Team dan Cai Akmal Nasir semuanya menang’. Saya secara peribadi telah menunjukkan komitmen dan semangat sepasukan yang tinggi dalam memperjuangkan dasar-dasar parti serta menyatukan anggota di peringkat akar umbi. Sebarang perbezaan pendapat sepatutnya diselesaikan secara berhemah melalui saluran dalaman parti, bukan dengan membuat kenyataan terbuka yang merosakkan imej serta perpaduan dalam kalangan anggota.
Pada 2 Mei 2025, hari Jumaat yang lepas, saya dan Akmal Nasir dipanggil ke Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di Petaling Jaya untuk mengikuti proses audit dan kiraan undian semula bagi Cabang Johor Bahru bersama 5 lagi Cabang disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), YB Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa. Auditor dari China telah dilantik oleh Parti untuk proses ini tetapi sayangnya Akmal Nasir masih lagi tidak berpuas hati dengan keputusan audit tersebut yang mengatakan bahawa Terms Of References (TOR) Perkara 1 iaitu ‘Vote to be reviewed’ itu tidak dibentangkan secara jelas walhal perkara tersebut hanyalah dipamerkan jumlah kertas undi berapa yang diterima dalam sistem dan bukan lah untuk mendedahkan undian setiap anggota yang telah membuang undi. Dan paling menyedihkan, Akmal Nasir terus ‘walk out’ iaitu keluar dari mesyuarat sebelum proses itu tamat.
Saya ingin menegaskan bahawa tuduhan seumpama ini tidak membantu dalam usaha memperkukuh parti menjelang cabaran politik semasa dan akan datang. Sebaliknya, ia hanya mencerminkan keperluan untuk memperbaiki budaya komunikasi dalam kalangan pimpinan.

0 Ulasan