Laksana titah adendum tanpa tangguh - Peguam

 


Berikut adalah kenyataan peguam merangkap aktivis hak asasi manusia merangkap AJK UMNO Bahagian Sungai Buloh, Adzly Ab Manas hari ini:

1. Kedaulatan Titah Diraja, Kuasa Mutlak Di Bawah Perlembagaan.

Sebagai seorang peguam dan rakyat yang menjunjung tinggi prinsip kedaulatan undang-undang serta Raja Berperlembagaan, saya ingin menegaskan bahawa Titah Diraja berkaitan pengampunan atau pelaksanaan hukuman terhadap banduan adalah kuasa eksklusif Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sebagaimana yang termaktub di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mencabar atau mempersoalkan kebijaksanaan titah tersebut. Hal ini telah diperkuat melalui pelbagai keputusan mahkamah sebelum ini, yang menegaskan bahawa urusan pengampunan adalah bersifat prerogatif Diraja dan tidak boleh dicampuri oleh mana-mana cabang eksekutif atau kehakiman.

2. Titah Adendum, Bukan Isu Politik, Tetapi Kewajipan Perundangan.

Berkenaan isu Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024, yang dikatakan memperkenankan supaya Dato' Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, saya berpandangan bahawa titah ini mesti dihormati dan dilaksanakan tanpa sebarang kelengahan oleh pihak berwajib, sama ada Jabatan Penjara, Kementerian Dalam Negeri mahupun pihak eksekutif.

Adendum ini bukan satu spekulasi politik atau perdebatan moral, tetapi merupakan arahan rasmi daripada Ketua Utama Negara dalam urusan prerogatif Diraja.



3. Tidak Wajar Mengheret Peguam Negara, PM atau Mana-Mana Pihak.

Sebagai ahli biasa UMNO, saya tidak melihat manfaat langsung dalam menuding jari kepada individu tertentu, sama ada Peguam Negara kini, bekas Peguam Negara, Menteri, malah Perdana Menteri sekalipun. Ini bukanlah isu teknikal pentadbiran kerajaan, ini adalah isu penghormatan terhadap Perlembagaan dan institusi Raja.

Mempolitikkan isu ini hanya akan memesongkan perhatian rakyat daripada prinsip sebenar yang sedang diuji, adakah kita benar-benar menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang?

4. Mahkamah Harus Menyegerakan Prosiding, Demi Keadilan dan Ketertiban Negara.

Saya menyeru agar Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya dengan mengarahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dapat mempercepatkan pendengaran kes semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum ini, agar ia tidak terus menjadi polemik awam yang merosakkan imej institusi keadilan negara.

Kelewatan dalam memberi keputusan hanya akan mewujudkan persepsi bahawa ada unsur campur tangan terhadap prerogatif Raja, serta melambatkan hak seorang banduan untuk mendapat pelaksanaan titah keampunan yang sah.

Isu Titah Adendum ini bukan sekadar tentang Dato’ Seri Najib Razak semata-mata, tetapi tentang maruah sistem Raja Berperlembagaan dan prinsip pemisahan kuasa di Malaysia. Kita perlu berani mempertahankan hak asasi dan keluhuran Perlembagaan, walau siapapun individu yang terlibat.

Melaksanakan Titah Adendum bukan bermakna mendewakan seseorang, tetapi menjunjung prinsip undang-undang tertinggi negara.

“Justice delayed is justice denied – and justice ignored is democracy eroded.”






Catat Ulasan

0 Ulasan