Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum..
Ke hadapan kakanda Nurul Izzah yang dikasihi.
Mengambil semangat kakanda Dr. Mujahid Yusof Rawa, adinda juga ingin mengirim warkah kepada kakanda Nurul Izzah. Bezanya kali ini, kakanda bukan dalam keadaan merajuk yang perlu dipujuk. Ditakdirkan tuhan, Adinda kini berada di Ankara untuk berkerja mengais sesuap nasi untuk kehidupan adinda dan keluarga. Maklumlah, adinda tiada gaji tetap seperti Adam Adli mahupun Fahmi Fadzil. Diharapkan kakanda berada dalam keadaan sihat, damai dan bersemangat untuk melawan Abang Raf. Adinda sentiasa menyokong kakanda.
Boleh tanya kakanda Liyana Marzuki, adinda pernah memberitahunya yang adinda mahu melihat kakanda Nurul Izzah melawan Abang Raf dan menjadi perdana menteri wanita pertama Malaysia. Itulah bukti jelas betapa adinda sangat menyokong kakanda dan punya harapan besar walaupun adinda hanyalah marhaen biasa yang tiada kecenderungan mana-mana parti politik.
Untuk pengetahuan kakanda, besarlah harapan adinda untuk kakanda menerajui negara suatu hari nanti dan mengotakan kata-kata yang pernah diperkatakan ketika menabur kata, tinta atau janji politik kerana adinda takut kakanda termasuk di dalam golongan munafik yang punya 3 ciri-ciri itu.
Kata Nabi SAW,
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ia berkata bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا
اؤْتُمِنَ خَانَ
“Rasulullah SAW bersabda: Tanda orang munafik tiga; apabila berkata dia berbohong, apabila berjanji mengingkari, dan bila diberi amanah, dia khianat.”
Di dalam warkah ini, adinda ingin mengucapkan terima kasih kerana “mengoyakkan” siasatan SKMM terhadap adinda dengan kenyataan yang kakanda tidak kisah “di-SCRUT” dan SKMM tidak patut menyiasat adinda. Hal ini telah menyebabkan “mereka” terpaksa mencari dan mengorek hantaran-hantaran lama untuk mencari ruangan intimidasi terhadap adinda.
Terima kasih kanda!
Kakanda Nurul Izzah yang dirahmati Allah,
Izinkan adinda memperkenalkan diri. Mungkin kakanda tidak mengenali adinda kerana adinda bukanlah orang politik, orang kaya seperti Farhash, mahupun Vinod Sankar atau pelawak seperti Afdlin Shauki dan penyanyi seperti Altimet. Adinda bukan juga penjilat mana-mana politikus untuk dapatkan jawatan pegawai kemunikasi, setiausaha atau pegawai khas. Adinda hanyalah anak marhaen yang dibesarkan di dalam idealisme reformasi era 98.
Adinda bukan anak dato, anak menteri, anak atau cucu perdana atau timbalan perdana menteri, anak atau cucu adun atau ahli parlimen, anak diplomat, anak jutawan, atau anak raja. Adinda hanyalah anak kepada orang biasa dan miskin yang telah bermandi air tembakan FRU, disebat polis, dan berdemonstrasi di jalanan. Mak dan ayah adinda ialah pendukung tegar ayahanda kakanda iaitu PMX hari ini tanpa mendapat apa-apa laba atau ghanimah hari ini. Bahkan dia ditukarkan tempat kerja kerana aktif menyokong gerakan reformasi.
Sebagai anak, sudah pasti perjuangan reformasi menyerap di dalam jiwa adinda. Beg sekolah adinda disemat butang "Justice For Anwar", tag mata lebam juga diikat kemas pada beg yang sama. Sehingga adinda dipanggil guru disiplin yang kuat Umno, diberi amaran untuk dibuang sekolah. Demi perjuangan reformasi, adinda sedikit pun tidak berganjak dengan ugutan tersebut. Seringkali guru disiplin adinda mengejek-ejek Pak Syaik di dalam kelas dan memuja muji Dr.M, saja nak menyakitkan hati adinda. Sampailah adinda dihantar ke Biro Tata Negara (BTN), butang dan tag tersebut telah direntap buang oleh fasilitator.
Untuk pengetahuan kakakanda, kini Adinda hanya seorang usahawan pemula (startup) yang membangunkan jenama SCRUT, kais pagi makan petang, kais petang makan esoknya. Adinda bukan konsultan kepada kerajaan yang dibayar mewah. Adinda juga bukan bekerja dengan Petronas atau di GLC/GLIC dengan lantikan atau arahan politik untuk menyara hidup ini. Adinda juga tidak bermain dengan projek atau tender kerajaan. Adinda mungkin dikenali sebagai orang yang menjaga integriti. Itu sebablah walanon-walanon beriya-iya menyerang adinda walaupun mereka tahu yang adinda tiada kesalahan apa pun. Adinda juga tidak pernah disabitkan bersalah dengan mana-mana jenayah, belum lagi kalah saman fitnah walaupun banyak saman yang datang menyinggah selama ini. Rasanya kakanda pun pernah kalah saman kerana memfitnah Raja Nongchik kan?
Kakanda Nurul Izzah yang didoakan istiqamah memperjuangkan agenda keadilan,
Adinda sangat sedih apabila kakanda tewas di gelanggang pusaka PMX di Permatang Pauh kepada seorang lebai PAS sebagaimana adinda juga pernah risau ketika Sultan Selangor pernah mengeluarkan kenyataan media yang dia kesal dengan kenyataan kakanda suatu masa dulu. Takut-takut SKMM datang mengganggu kakanda ketika itu.
Namun adinda tidak sangka yang cadangan untuk SCRUT kakanda pada jam 9 pagi, pada hari yang sama jam lebih kurang 5 petang sudah dapat panggilan untuk hadir ke SKMM jam 8 malam. Setelah hadir ke SKMM, tiba-tiba ada lagi laporan masuk petang itu, dan terus jam 10 malam SKMM ajak polis bawa kereta peronda nak bagi notis kehadiran sahaja. Laju tak kanda? Dulu SKMM laju macam ni tak kanda? Yang lebih kelakar terbitan yang kononnya baru dilaporkan itu adalah terbitan yang sudah lama dan tiada satu sultan pun yang pernah mengeluarkan kenyataan murka kepada dinda. Tiada apa-apa demonstrasi pun yang berlaku selama ianya diterbitkan.
Jadi, adinda mohon kakanda nasihatkan Fahmi pelakon tambahan Gol dan Gincu itu untuk teruskan perjuangan sebagaimana ketika dia menjadi aktivis Twitter yang memperjuangkan hak kebebasan bersuara. Adinda rasa, kalau kakanda jegil mata sahaja, dia mesti akan tunduk dan angguk. Sebab dia dulu hanyalah tukang bawa beg kakanda sahaja kan? Takkan setelah jadi menteri terus jadi macam budak gila kuasa guna sumber kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat. Adakah itu reformasi yang PKR gagaskan? Yang ayahanda PMX mahu lihat?
Kakanda Nurul Izzah puteri reformasi,
Rasanya kakanda lebih tahu apa itu erti reformasi kerana lahir daripada benih Pak Syaikh yang memulakan laungan reformasi. Jadi adinda harap kakanda rajin-rajinlah baca balik blog dan hantaran media sosial kakanda yang lepas-lepas. Kadang-kadang melihat dan menoleh kembali ke masa lepas boleh mengajar diri kita, siapa kita sebelum mendapat kuasa. Di Ankara ini, adinda bertanya pemuda-pemuda Turkiye tentang pendidikan percuma. Benarkah seperti yang ayahanda PMX ceritakan di dalam ceramah politiknya tentang pendidikan percuma.
Ya, memang benar di Turkiye ini pendidikan percuma sejak tadika sampai ijazah pertama seperti yang ayahanda kakanda Nurul Izzah, Pak Syaikh ceritakan. Selepas Erdogan mendapatkan kuasa, dalam masa lebih kurang 2 tahun, dia hapuskan “PTPTN” Turkiye, walaupun inflasi dan ekonomi negara Turkiye jauh lebih buruk berbanding Malaysia. Rasanya kakanda juga ada melaungkan tentang hal ini bukan dulu? Dengan kebangkitan kakanda, rasanya boleh mula kotakannya. Ekonomi pun seringkali dan acapkali dikatakan makin baik. Kan?
Jadi, adinda harap kakanda boleh bersama-sama ayahanda, Adam Adli, budak bekam, dan lain-lain untuk melaksanakan segera. Takkan nak biar masyarakat kata masuk politik nak kembungkan perut sendiri sebagaimana kata-kata Thomas Sowell,
“Politics is the art of making your selfish desires seem like the national interest.”
Dah sedap dapat gaji MP dan menteri, terus semua lupa. Lupa atau dulu hanya menunggang? Kakanda kena betulkan. Betulkan dengan damai. Bukan hiruk. Adinda tahu kakanda bukan seperti yang Thomas Sowell katanya itu. Kan? Lagipun kakanda kan sudah bekerja dengan Petronas selepas tidak lagi menjadi ahli parlimen. Siap dapat pakai kad dan “landyard” hijau terus kan?
Apa pun tahniah kanda. Baru Abang Raf tak boleh nak membongak dan mendabik dada asyik cerita dia sahaja pernah kerja Petronas. Adinda harap kakanda boleh tolong Petronas untuk terus maju di kala mereka sedang sakit melayan dan terpaksa buat “right sizing”. Kakanda masuk Petronas terus gaji GM ke? SGM ke? Atau VP? Abang Raf dulu gebang dia masuk terus jadi pengurus. Sampai ada orang Petronas yang “release” gaji sebenar dan jawatan sebenar dia masa dia balik dulu.
Kakanda Nurul Izzah yang diharapkan bukanlah politikus munafik seperti politikus lain,
Ingin adinda ingatkan, kata-kata Nabi SAW,
عَنْ مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اَللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَا مِنْ عَبْدِ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً, يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ, وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ, إِلَّا حَرَّمَ اَللَّهُ عَلَيْهِ اَلْجَنَّةَ – مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ
Dari Ma’qil Bin Yasar Radhiyallahu anhu berkata, aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
“Tidaklah seorang hamba pun yang diberi amanah oleh Allah untuk memimpin bawahannya yang pada hari kematiannya dia masih berbuat curang atau menipu rakyatnya, melainkan Allah mengharamkan syurga atasnya.”
[HR Bukhari dan Muslim]
Di dunia ini, kita mungkin boleh berdusta, mereka-reka justifikasi dan mencipta persepsi. Tetapi di hadapan Allah kelak, semua itu sudah tidak berguna melainkan amalan baik yang ikhlas sahaja. Kan kanda?
Sebagai anak pengasas ABIM pastinya kakanda lebih maaruf tentang hukum hakam agama yang melibatkan dosa dengan rakyat dan masyarakat. Sebagai anak orang miskin, adinda selalu membayangkan rakan-rakan dan kaum B40 macam adinda ini sering diperbodohkan dan diperkudakan untuk nafsu serakah politikus dapat diselamatkan daripada ditipu dan dimanipulasilan oleh para politikus munafik.
Apabila mereka sudah dapat gaji MP, Adun, jadi menteri, mereka sudah tidak kisah. Apa-apa jadi pun, hujung bulan gaji masuk. Nak naik gaji, bincang sesama politikus di parlimen, semua pakat-pakat setuju termasuk pembangkang. Jadi, apalah beza parti reformasi dengan parti lain. Nampak sama-sama macam cari makan untuk kepentingan nafsu serakah mereka.
Maka, adinda harapkan kakanda tidak sebegitu. Kakanda ingat balik ketika ayahanda kanda dipijak, ditolak dan dilanyak, jika tiada rakyat yang bersimpati dan menyokong, sudah pasti beliau terus rebah tidak bangun-bangun. Jadi, janganlah lupa mereka yang menyokong perjuangan reformasi tanpa mendapat apa-apa laba dalam hidup mereka.
Dunia ini ada putaran masanya. Ada ketika kita di bawah, ada ketika kita di atas. Di akhirat nanti, sama ada kita akan ke syurga, mahupun neraka. Jadi, suka adinda berkongsi tentang sepotong kata pujangga yang adinda rasa kakanda selalu mendengarnya,
"All power tends to corrupt dan absolute power corrupts absolutely."
Kata-kata ini dikeluarkan oleh Lord Acton sekitar tahun 1887 ketika dia menyuarakan tegurannya kepada Bishop Mandell Creighton tentang keadaan politik yang tiada semak imbang. Kakanda jangan sentiasa mendengar kata-kata mereka yang ada kepentingan. Mereka itu semua orang yang lapar dan cari makan dengan menjilat, mengampu dan menyonyot politikus yang punya kuasa macam kakanda.
Tidak seperti adinda. Adinda tiada kepentingan. Kakanda menang pun adinda tak kaya. Kakanda kalah pun adinda tidak hilang gaji. Adinda tiada gaji sebagai pegawai komunikasi yang kerjanya hanya menjelir lidah dan menjilat politikus yang melantiknya. Jika jatuh tuannya, habislah kemewahannya. Tak bolehlah berlagak konon kerja di kementerian. Jadi, kadang-kadang kakanda kena buka hati dan buang ego untuk mendengar nasihat orang yang tiada kepentingan dengan kakanda ini.
Kakanda Nurul Izzah yang sentiasa dalam doa adinda,
Mungkin ramai pengampu, penjilat dan penyonyot kakanda atau parti kakanda tersentak dengan terbitan nak SCRUT kakanda. Kenapa ya? Adakah mereka memandang rendah terhadap kanda dan merasakan kakanda tidak bersih? Takut apa jika kakanda bersih. Yang lagi kelakar didakwanya data peribadi atau kesalahan PDPA. Walhal maaruf ianya data terbuka atau data awam sahaja. Tang mana ianya PDPA. Tapi, bukankah parti reformasi sepatututnya tidak kisah? Penyata bank pun Abang Raf pernah keluarkan. Kan?
Cuma kakanda jangan bimbang. Adinda bukan politikus. Adinda sentiasa "walk the talk". Dah tersebut 20 ribu perkongsian, ia kekal 20 ribu perkongsian. Melainkan ada yang sudi bayar. Jangan risau adinda seorang yang berprinsip walaupun kelihatan macai-macai walaun, zombie dan taik datang mencabar, membakar dan cuba mencucuh. Adinda kekal dengan kata itu kota. Ucapan adinda kepada walaun,
"Walaun sekalian, berpakatlah untuk dapatkan 20 ribu perkongsian, atau bayar. Ya, aku mencari 'justifikasi' sebagai gantian bayaran servis fi kerja itu. Aku bukan macam walaun atau walanon spisis taik yang buat kerja politik secara percuma. Faham?"
Ohya, masihkah kakanda ingat tentang manifesto bukan janji kakanda untuk membawa Radiohead ke Malaysia. Adakah telah berlangsung secara privasi? Atau masih belum? Kadang-kadang, janji manis yang nampak kecil tetapi memberi impak yang buruk. Di kalangan kawan-kawan adinda sering menggunakan isu tersebut sebagai bahan untuk mengejek adinda. Kata mereka,
"Ah kakak kau tu, kaki sembang. Mana Radiohead pun tak boleh nak bawa. Sibuk nak cerita buat sesuatu yang lagi besar. Suruh dia bawa Radiohead dulu. Lepas tu baru sembang. Dia dengan bapa dia sama sahaja."
Sampai adinda terpaksa "triangle choke", "armbar" dan "d'arch choke" supaya mereka diam dan sabar menanti. Kata adinda,
"Sabar geng. Sabar itu sebahagian daripada iman. Penantian itu suatu kenikmatan. Sebagaimana Pak Syaikh menanti lebih 30 tahun untuk jadi PMX. Nikmatnya idola kita, Farhash yang rasa. Kan?"
Kakanda Nurul Izzah yang sangat mendamaikan,
Ketahuilah adinda ini tidak pernah mengutip derma, tiada NGO mengemis sedekah seperti Aman Palestin, tiada anak murid untuk dijadikan proksi mengutip derma dan tiada syarikat yang bernilai RM100 juta yang bermula dengan kutipan derma. Adinda kena kerja kuat sebab tiada "pinjaman lembut" seperti NFC pernah dapat, geran-geran seperti Aerodyne terima, pelaburan GLC/GLIC seperti Fashion Valet dan projek besar kerajaan seperti LCS.
Adinda juga tidak pandai menjilat atau melacurkan diri adinda kepada mana-mana pihak kerana adinda percaya yang rezeki daripada Allah. Tetapi, jika kakanda yang meminta pertolongan sudah pasti adinda akan bantu. Cuma mungkin perlahan sedikit progresnya. Maklumlah, adinda tiada dana seperti Jana Wibawa mahupun tabung milo yang mendanai hidup adinda. Harus selesaikan kehidupan diri dahulu. Tapi, insyaAllah boleh bantu. Kanda tahu kan, di mana nak cari dinda?
Adinda nak ambil kesempatan untuk menyatakan sokongan kepada kakanda untuk memenangi jawatan timbalan presiden PKR supaya mudah kakanda menjaga ayahanda PMX sebagai anak dan sebagai timbalan presiden parti. Parti derita ini biarlah keluarga derita yang menjaganya. Kakanda lebih faham erti derita berbanding Abang Raf. Adinda doakan kemenangan kakanda.
Akhir sekali, jika kakanda nak beli Vellfire atau Alphard recond, pastikan kakanda SCRUT dulu tau. Tapi kalau beli yang baru takyahlah SCRUT dulu. Maklumlah, dah asyuk kerja Petronas kan la ni? Penjual kereta recond ni macam politikus juga. Bukan jujur pun. Perangai semua macam jebon. Jadi, kenalah hati-hati. Tapi kan kakanda, yang recond biasanya "spec" lagi elok dan tinggi. Kalau nak SCRUT, sila ke www.scrut.my
tau.
Ingat kakanda, taknak kena tipu beli kereta SCRUT dulu. Taknak kena tipu dengan politikus pun, SCRUT dulu! Ohya, kalau nak buat "software" atau aplikasi pun, boleh cari dinda ya! InsyaAllah, software pemilihan perwakilan parti yang paling telus dan berintegriti pun kami pernah bangunkan. Jangan lupa, kami ini diantara "pioneer developer" teknologi blockchain.
Sekian, doakan adinda sempat melihat kakanda menjadi PM wanita pertama Malaysia tau!
0 Ulasan