Kemenangan pasti dalam tangan Nurul Izzah Anwar sekiranya beliau membuat keputusan untuk bertanding mencabar Datuk Seri Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.
Setakat ini, Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim telah menyatakan sokongan padu terhadap beliau.
Selain itu, Nurul Izzah turut menerima sokongan padu daripada cabang-cabang serta sayap-sayap di Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Perak, Pahang, Sabah, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Wilayah Persekutuan, Kelantan dan Terengganu.
Beberapa ketua cabang di Kedah dilaporkan menyokong anak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu manakala ketua-ketua cabang di Sarawak menyokong Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Di atas kertas, Nurul Izzah yang terkenal dengan julukan Puteri Reformasi sudah 'tapau habis' sokongan dan boleh dikatakan jawatan nombor dua PKR dalam tangan, jika beliau mahu bertanding.
Ada juga pemimpin PKR yang bimbang parti itu akan dikaitkan dengan nepotisme sekiranya Nurul Izzah menang.
Maklumlah, bapanya Presiden PKR merangkap Perdana Menteri dan Menteri Kewangan manakala ibunya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Walau bagaimanapun, Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil menyatakan isu nepotisme tidak timbul memandangkan Nurul Izzah kini Naib Presiden parti.
Fadhlina pula meminta semua pihak supaya jangan mempersoalkan Nurul Izzah anak siapa, sebaliknya melihat sahabatnya itu sebagai tokoh yang mampu menjayakan agenda rejuvenasi politik negara.
Pemilihan Timbalan Presiden PKR kali ini memang menarik dan dramatik kerana penyandang jawatan itu berpeluang menjadi Perdana Menteri selepas Anwar.
Ramai yang berharap Nurul Izzah akan mencatat sejarah sebagai Perdana Menteri wanita yang pertama. Sebelum ini, Wan Azizah menjadi Timbalan Perdana Menteri wanita yang pertama.
Andainya itu berlaku dan PKR kekal menjadi parti tunjang kerajaan pada masa akan datang, keluarga Anwar pasti menjadi sebutan di seluruh dunia.
Mana tidaknya, keluarga Reformasi itu menghasilkan dua Perdana Menteri dan dua Timbalan Perdana Menteri selain ketokohan ibu dan anak yang berjaya menamatkan dominasi lelaki dalam memegang dua jawatan tertinggi pentadbiran negara.
Pasti nama Malaysia akan gah kembali sekali gus memberi kesan limpahan kepada kemakmuran ekonomi negara seperti ketika zaman Anwar dinobatkan sebagai Menteri Kewangan Terbaik Asia dahulu.

0 Ulasan