Berikut adalah kenyataan media Timbalan Pengerusi Biro Penerangan MCA, Chai Jie Yang semalam:
Tahniah kepada Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) kerana memperkenalkan sebuah lagu tema sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 semalam yang mengisahkan perjuangan pekerja, serta menekankan nilai dan budaya tempatan, dan semangat bersatu padu.
Tetapi timbul persoalan, di mana rasional dan keperluannya untuk lagu bertajuk "Solidariti Perjuangan" itu sama melodinya dengan lagu patriotik Amerika Syarikat "John Brown's Body" atau "The Battle Hymn of the Republic" yang telah wujud melebihi seabad itu?
Kenapakah Kesuma dilihat menutup mata terhadap bakat dan kreativiti dalam sektor muzik, lagu dan nyanyian negara ini, yang diunjur menjana pendapatan mencecah RM300 juta sepanjang 2024 oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM)?
Apakah kita bersedia “berkongsi” lagu patriotik negara China untuk sambutan Hari Pekerja 2026, dan lagu patriotik United Kingdom atau Afghanistan untuk versi 2027? Di manakah semangat patriotik dan jati diri Menteri Sumber Manusia DAP, sehingga sanggup menciplak lagu negara lain?
Ini sama seperti perbuatan ketuanya, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan yang menyampaikan cendera hati berbentuk naga kepada Presiden China, bukannya buah tangan bercirikan bunga raya, atau ukiran batik yang sinonim dengan Malaysia.
Kerajaan Madani harus memandang serius fenomena di mana jati diri dan identiti Malaysia semakin diabaikan oleh pemimpin-pemimpin, sama ada dengan sengaja atau tidak, dan segera menetapkan garis panduan bagi membetulkannya.

0 Ulasan