Laksanakan segera keadilan untuk Najib

 


Berikut adalah kenyataan media Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pulau Pinang, Ahmad Zaki Shah Shah Headan semalam:

Saya serta seluruh ahli Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Balik Pulau mengambil maklum akan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan permohonan Peguam Negara untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dalam isu berkaitan dokumen tambahan (adendum) dalam kes pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kami menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan proses kehakiman yang sedang berjalan. Namun demikian, kami berpandangan bahawa adalah penting untuk memastikan proses ini berlangsung dengan telus, adil dan tanpa kelewatan yang tidak perlu, demi menjaga kepercayaan rakyat terhadap institusi keadilan negara.

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui Majlis Kesultanan Pahang telah memperakui kewujudan Titah Adendum tersebut pada 6 Januari yang lalu. Justeru, sepatutnya tiada sebarang pertikaian lagi berkenaan hal ini! Kelewatan yang berpanjangan hanya akan menimbulkan kekeliruan dan persepsi negatif terhadap semua pihak terbabit.

Kami juga ingin menekankan bahawa Institusi Diraja adalah tunggak kestabilan negara, dan sebarang dokumen atau titah yang dikaitkan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong wajar disantuni dengan penuh tertib, profesionalisma dan rasa hormat.

Pergerakan Pemuda UMNO Balik Pulau dengan ini menyeru:

1. Semua pihak menghormati dan mematuhi proses perundangan dengan penuh integriti.

2. Mahkamah diberi ruang untuk menilai fakta secara bebas tanpa tekanan luar.

3. Keadilan kepada Datuk Seri Najib dilaksanakan dengan segera, selaras dengan prinsip undang-undang dan hak asasi.

Kami mempercayai bahawa sistem perundangan negara mampu menyantuni isu ini sebaiknya. Pemuda UMNO kekal komited memperjuangkan prinsip keadilan untuk semua, dalam kerangka undang-undang dan tatasusila negara, dan mengutuk sekerasnya sebarang prejudis yang wujud! 

BACA LAGI

MENARIK



Catat Ulasan

0 Ulasan