Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mencadangkan supaya Bersatu dibubarkan berikutan sokongan orang Melayu terhadap parti itu sudah tepu.
Menurut beliau, hasrat awal Bersatu untuk ganti UMNO sudah berakhir.
"Lebih baik cari warna dan cogan kata lain supaya tidak nampak meniru UMNO.
"Barulah 'lain dari yang lain'," katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Mohd. Puad juga bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mengakui sokongan orang Melayu terhadap Bersatu semakin merosot.
Menurut beliau, Bersatu sukar untuk bersaing dengan UMNO dan PAS kerana kedua-dua parti itu adalah pilihan utama orang Melayu.
"Lebih baik Bersatu bersaing dengan PKR. Justeru jadikan Bersatu parti berbilang kaum macam PKR," jelasnya.

0 Ulasan