Berikut adalah kenyataan Bendahari Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin hari ini:
Kemenangan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada usia yang masih muda merupakan satu naratif baharu yang segar dalam landskap politik negara.
Ia menggambarkan bahawa pengundi hari ini sudah mula meletakkan keyakinan kepada kepimpinan muda yang progresif, berwibawa dan dekat dengan aspirasi rakyat.
UMNO juga tidak boleh ketinggalan dalam gelombang perubahan ini.
Sudah tiba masanya parti memberi ruang yang sewajarnya kepada barisan kepimpinan muda, khususnya YB Datuk Dr Akmal Saleh, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, untuk berganding bahu bersama Presiden parti dalam usaha meremajakan UMNO dan menjadikan Barisan Nasional kembali sebagai pilihan utama rakyat, terutamanya bangsa Melayu dan generasi muda Malaysia.
Melihat kepada statistik tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lepas, jelas menunjukkan peningkatan ketara sokongan daripada pengundi muda kepada BN. Ini bukan satu kebetulan, tetapi hasil daripada pendekatan idealisme dan gerak kerja konsisten yang dibawa oleh Dr Akmal Saleh — yang nyata telah berjaya menarik kembali minat dan keyakinan generasi muda kepada UMNO.
Kita perlu bergerak seiring dengan kehendak zaman.
Jika kita benar-benar mahu mengembalikan kegemilangan UMNO, ia bermula dengan keberanian memberi peluang kepada pemimpin muda yang terbukti mampu membawa perubahan.

0 Ulasan